
PORT DICKSON: Kerjasama PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional di Negeri Sembilan mendapat sambutan positif daripada pengundi yang mahukan kestabilan politik, kata Azhar Shaharudin, 62.
Ketua Bilik Operasi (BO) Induk dan wakil calon PN DUN N.31 Bagan Pinang itu menjelaskan, perkembangan hubungan kedua-dua parti itu dilihat baik selepas Umno tidak bertanding di keseluruhan kerusi DUN pada PRN ke-16 ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Port Dickson memaklumkan, kerjasama berkenaan turut diterima baik oleh kedua-dua parti dalam usaha menghadapi Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP di Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, dari segi kempen dan penerimaan pengundi, nampak baik. Mereka menerima baik muafakat antara PAS dan BN ini. Orang Melayu dan bangsa lain yang tidak berpuas hati dengan keadaan sekarang.
“Terutama dari segi ekonomi dan kos sara hidup harian, melihat kepada keperluan kestabilan politik,” ujarnya kepada HarakahDaily di Pusat Khidmat DUN Bagan Pinang, di sini baru-baru ini.
Azhar berpandangan, ketika turun berkempen dari rumah ke rumah, pihaknya mendapati pengundi yang bukan ahli parti turut menerima baik kerjasama berkenaan selepas mengetahui kewujudan Muafakat Nasional.
“Mereka mahukan kestabilan dalam politik dan suasana yang lebih aman berbanding pertelagahan sesama rakyat berkaitan isu semasa. Mereka juga perlukan perkara berkaitan keistimewaan orang Melayu dikembalikan semula.
“Namun pada masa sama tidak dilupakan bangsa lain yang bebas untuk beragama. Subsidi seperti petrol, minyak masak dan gula pula adalah keperluan harian, bukannya untuk orang Melayu sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Mengulas isu sering dibangkitkan pengundi sepanjang kempen, Azhar menyatakan masalah anjing liar antara perkara yang mendapat perhatian penduduk.
Menurut beliau, terdapat kekangan apabila pencinta haiwan menghalang tindakan menangkap dan membuang anjing liar, namun pada masa sama tidak mengambil tanggungjawab untuk menjaganya.
“Bagi saya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya menyediakan satu kawasan untuk anjing-anjing ini ditempatkan dan diberikan kepada mereka yang memerlukan melalui kaedah anak angkat secara percuma,” gesanya.
Selain itu, beliau turut mendedahkan, isu tanah terbiar menjadi antara aduan penduduk, terutama petani yang menanam pokok buah-buahan apabila berdepan gangguan monyet liar.
Azhar berkongsi pengalaman, masalah itu turut berlaku berhampiran kediamannya apabila sekumpulan monyet liar dianggarkan antara 50 hingga 60 ekor datang dan merosakkan tumbuh-tumbuhan serta barangan di rumah.
“Bukan setakat tumbuh-tumbuhan, barang seperti lampu, pasu bunga dan lampu tiang turut dirosakkan apabila mereka (monyet-monyet tersebut) tidak mendapat makanan.
“Ia juga agak mengancam kerana baru-baru ini ada seorang penduduk dikejar anjing liar sehingga hampir terjatuh. Sebelum perkara lebih buruk berlaku, masalah ini perlu ditangani,” desaknya.
Sementara itu, Azhar menegaskan, PRN kali ini amat penting kerana kuasa diperlukan untuk membolehkan mana-mana pihak memerintah dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Beliau mengakui, walaupun calon PN DUN Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria mampu menjalankan tugas tanpa peruntukan daripada kerajaan negeri, ruang membantu rakyat akan lebih luas sekiranya diberikan mandat.
“Alhamdulillah, Ustaz Fatah dapat menjalankan tugas dengan baik walaupun tidak dapat memberi dengan banyak. Kami dapat membantu serba sedikit penduduk di DUN Bagan Pinang,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026











