PN-BN: Perkara paling dibenci, formula tamatkan PH!

- Advertisement -

SEREMBAN: Penyatuan antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai formula penting untuk menamatkan pentadbiran PH di peringkat Persekutuan sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Ketua Pemuda PN, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, kerjasama yang sedang dibina antara PAS dan Umno tidak seharusnya terhad kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya perlu diteruskan sehingga PRU akan datang.

Menurut beliau, pendekatan itu telah menunjukkan hasil apabila PAS mengarahkan penyokongnya membantu calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN dalam PRN Johor baru-baru ini bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu dan Islam.

“Alhamdulillah di Johor, rakan kita Barisan Nasional menang dengan majoriti yang lebih besar. Apa yang PAS dan PN dapat? Kerusi tidak dapat, jawatan Menteri Besar pun tidak. Tetapi politik bukan hanya tentang kerusi dan jawatan.

“Politik ialah soal penyatuan, kedaulatan dan memastikan orang Melayu serta Islam terus mempunyai kekuatan dalam negara,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Birukan Sikamat di Medan Selera Taman Desa Rhu, Sikamat.

Beliau berkata, penyatuan mula terjalin antara PN dan BN merupakan perkara paling dicemburui pihak lawan kerana buat pertama kali dua gabungan terbesar yang mewakili orang Melayu dan Islam dapat berada di pentas sama demi kepentingan bersama.

Menurutnya, orang Melayu dan Islam juga berhak membincangkan soal sejarah, agama, bahasa dan hak mereka sebagaimana kaum lain bebas memperjuangkan identiti masing masing.

“Semua kaum berhak bercakap mengenai hak dan asal usul mereka. Jadi mengapa apabila orang Melayu bercakap mengenai penyatuan, bahasa Melayu dan hak orang Melayu, ia dianggap satu kesalahan?” soalnya.

Afnan berkata, politik tidak sepatutnya hanya berkisar kepada perebutan jawatan, sebaliknya menjadi amanah untuk mentadbir negeri dan negara serta mengembalikan hasil kepada rakyat melalui pembangunan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam.

“Politik bukan sekadar pandai berucap atau menabur janji. Politik ialah amanah mengurus negeri dan mengembalikan hasil kepada rakyat,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mengkritik kepimpinan kerajaan semasa yang menurutnya lebih banyak memainkan retorik politik tanpa menawarkan penyelesaian terhadap isu ekonomi dan masa depan negara.

Beliau turut menyatakan kerajaan gagal memastikan janji yang dibuat pemimpinnya ditunaikan sehingga menjejaskan integriti pentadbiran.

Mengulas calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah, beliau menyifatkan bekas pegawai kanan polis itu sebagai calon berpengalaman dan mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Saya yakin Datuk Razali masih kuat bekerja, mampu turun bertemu rakyat dan menyelesaikan isu isu penduduk di Sikamat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Beliau turut menegaskan aset kerajaan tidak boleh digunakan bagi tujuan berkempen kerana kerajaan dan parti politik merupakan dua entiti yang berbeza.

“Aset kerajaan ialah milik kerajaan, bukan milik parti. Kerajaan adalah kerajaan dan parti adalah parti,” tegasnya.

Menurut Afnan, hubungan erat yang mula terjalin antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno menjadi petanda positif ke arah penyatuan umat Islam dan orang Melayu walaupun kedua-dua pihak sebelum ini berada dalam parti berbeza.

“Pada kita anak muda, soal bendera parti itu nombor dua. Yang utama ialah kita berkongsi akidah, bahasa dan tanah air yang sama,” katanya.

Beliau turut menyentuh beberapa isu nasional termasuk pensijilan Halal, penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran, pemeliharaan identiti budaya tempatan serta titah Sultan Kedah supaya Langkawi mengekalkan identiti dan tradisinya sebagai destinasi pelancongan. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -