Doktor PAS ziarah, periksa kesihatan bersama calon

- Advertisement -

REMBAU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain, mengadakan kempen lapangan menyantuni penduduk menerusi program ziarah rumah ke rumah yang disertai pemeriksaan kesihatan.

Program dengan kerjasama Lajnah Kesihatan PAS Pusat itu bertujuan mendekati masyarakat secara bersemuka, di samping menyediakan pemeriksaan kesihatan asas kepada penduduk serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka menjelang hari pengundian.

- Advertisement -

Turut menyertai program berkenaan ialah Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, bersama petugas kesihatan yang bergerak menziarahi penduduk, khususnya warga emas, pesakit serta golongan yang memerlukan perhatian.

Sepanjang program tersebut, pasukan kempen bukan sahaja menyampaikan mesej kepada pengundi, malah mengambil peluang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat bagi memahami isu dan cabaran yang dihadapi penduduk setempat.

Dr Ahmad Yunus berkata, pendekatan turun padang melalui ziarah dan pemeriksaan kesihatan merupakan antara usaha untuk memastikan masyarakat menerima manfaat secara langsung, di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Hari ini saya bersama calon PERIKATAN NASIONAL DUN Paroi turun menziarahi masyarakat sekitar Paroi sambil menjalankan pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah, semoga seluruh warga Paroi sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu membolehkan pemimpin melihat sendiri keadaan masyarakat selain mengenal pasti keperluan yang memerlukan perhatian bagi memperkukuhkan agenda kebajikan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak seluruh pengundi Paroi supaya menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian nanti.

“Insya-Allah pada 1 haribulan nanti, semoga semua diberikan kekuatan untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -