‘Di mana saja ada kematian, mesti ada Ustaz Fatah’

’Veteran tentera yakin kepimpinan Ustaz Fatah

- Advertisement -

PORT DICKSON: Pengerusi Veteran Tentera Cawangan Port Dickson, Ramli Ismail, 77, menyifatkan, calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria mempunyai ciri kepimpinan yang sesuai sebagai wakil rakyat.

Menurut Ramli yang sudah bersara daripada ATM sejak 36 tahun lalu, pengalaman Ustaz Fatah sebagai bekas anggota tentera serta penglibatannya dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) telah membentuk disiplin dan kepimpinan dalam diri beliau.

- Advertisement -

“Saya cukup kenal benar (Ustaz Fatah), hubungan (saya sangat) rapat dengan Ustaz Fatah. Saya selalu berganding dengan beliau dan saya tengok memang pada Ustaz Fatah ada ciri-ciri kepimpinan sebagai ADUN.

“Beliau bekas tentera. Bekas tentera ini melalui kursus-kursus kepimpinan (leadership), jadi perkara itu terkena pada Ustaz Fatah dan beliau juga daripada Kor Agama KAGAT,” jelas Ramli ketika ditemui HarakahDaily di pejabat beliau, di sini baru-baru ini.

Ramli yang telah menetap di Negeri Sembilan selama 47 tahun menjelaskan, beliau turut melihat Ustaz Fatah seorang yang prihatin terhadap rakyat, ahli jemaah dan masyarakat, khususnya di kawasan DUN Bagan Pinang.

“Kalau di mana saja ada kematian, mesti dia ada. Itulah kelebihan beliau. Memang orang lain susah (nak bersaing) dengan dia, di mana sekalipun khususnya di DUN Bagan Pinang,” dedahnya.

Ramli yang memimpin lebih 3,000 orang veteran tentera itu menambah, sikap sentiasa menyantuni masyarakat menjadikan Ustaz Fatah seorang wakil rakyat yang dekat dengan penduduk setempat.

“Memang patut benarlah dia ini (dipilih) sebagai ADUN Bagan Pinang dan beliau juga selalu menyantuni rakyat-rakyat khususnya DUN Bagan Pinang,” pujinya.

Ramli memaklumkan, beliau melihat hubungan Ustaz Fatah dengan masyarakat semakin rapat selepas kemenangan calon berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Sementara itu, Ramli menyeru pengundi kawasan berkenaan supaya terus memberi sokongan kepada Ustaz Fatah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.

“Saya merayulah kepada pengundi-pengundi khususnya di DUN Bagan Pinang supaya kita mengundi PERIKATAN NASIONAL khususnya kepada Ustaz Fatah.

“Kita bagilah undi kepada beliau untuk mengekalkan (Ustaz Fatah sebagai) ADUN di Bagan Pinang untuk PRN kali ini,” seru beliau.

Mengulas mengenai kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN), Ramli menyatakan, ketika ini menjadikan suasana politik berbeza berbanding sebelum ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan sokongan pengundi terhadap Ustaz Fatah dapat diteruskan berdasarkan hubungan baik calon itu bersama masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -