DAP: Rasis dengan nama lain, Melayu dijadikan boneka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekiranya konsep ‘Malaysian Malaysia’ membawa makna kesamarataan, maka meritokrasi pula mempunyai maksud lebih keras kerana ia bererti dominasi oleh mereka yang mempunyai kelebihan dalam pendidikan, perniagaan dan semua bidang kehidupan.

Penganalisis politik, Nazrin Ramlan berkata, meritokrasi hanya dianggap adil sekiranya semua pihak bermula daripada garis permulaan yang sama, sedangkan Malaysia tidak pernah berada dalam keadaan sedemikian.

- Advertisement -

“Memaksakan meritokrasi dalam masyarakat yang tidak seimbang bukan keadilan, tetapi hukuman yang disamar sebagai keadilan,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Melayu dilabel perkauman

Nazrin berpandangan, apabila orang Melayu memahami kesan meritokrasi lalu menentang pelaksanaannya, mereka sering dilabel sebagai perkauman.

Beliau menghuraikan, kerana tidak mahu dicap sedemikian, ramai orang Melayu memilih untuk berdiam diri, manakala sebahagian lain menyokong meritokrasi kerana kebanggaan yang tersalah tempat sehingga melemahkan kedudukan sendiri.

“Hari ini kita melihat banyak NGO (badan bukan kerajaan) Melayu bangkit mempertahankan kepentingan Melayu. Mereka hampir pasti dicap sebagai perkauman.

“Malangnya, mereka yang melabel ini juga bersifat perkauman kerana menyokong sistem dominasi melalui ekonomi,” tempelak beliau.

Mengulas mengenai pembangunan bandar, Nazrin menyatakan kaedah sama digunakan apabila ia tidak pernah disebut sebagai pembangunan untuk kaum tertentu, sebaliknya digambarkan sebagai pembangunan moden dan bertaraf dunia.

Menurut beliau, harga kemudian ditetapkan pada tahap yang menyebabkan orang Melayu tidak mampu memilikinya di mana mereka tidak dihalau secara paksa, tetapi disingkirkan melalui harga.

“Jika orang tempatan tidak mampu membeli, orang luar boleh. Orang Melayu kehilangan tanah, meninggalkan bandar dan kekal di pinggir,” ceritanya.

DEB bukan untuk menindas

Nazrin menegaskan, Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak pernah bertujuan merampas hak orang lain, sebaliknya diwujudkan kerana orang Melayu memerlukan sokongan untuk berdiri.

Beliau turut menghuraikan bahawa perniagaan kaum Cina berkembang pesat di bawah dasar berkenaan di mana ia diwujudkan kerana orang Melayu memerlukan tongkat untuk berdiri, bukan untuk menindas.

Beliau berpandangan, membantu orang Melayu sering dianggap rasis, sedangkan beberapa perkara lain seperti sekolah vernakular, keperluan Mandarin dan pengiktirafan UEC pula dilihat sebagai hak budaya, keperluan pasaran serta kebebasan akademik.

“Ukuran yang digunakan jelas tidak sama,” tambah Nazrin sambil menyifatkan apa yang berlaku hari ini bukan kempen menentang perkauman.

Sebaliknya menurut beliau, pertembungan antara pihak yang mempertahankan kelangsungan Melayu secara terbuka dengan pihak yang menyembunyikan dominasi di sebalik bahasa sopan.

“Meritokrasi bukan neutral. Dalam masyarakat yang tidak seimbang, ia menjadi senjata. Mereka yang paling lantang menuduh orang lain rasis sering kali paling mendapat manfaat daripada sistem ini.

“Sehubungan itu, saya juga akan dicerca sebagai bersifat perkauman oleh pejuang meritokrasi yang bersifat perkauman. Biarlah” tekadnya.

Kuasa sebenar bukan sekadar simbol

Nazrin mengingatkan bahawa, rakyat Malaysia sering menenangkan diri dengan angka dan simbol apabila melihat orang Melayu sebagai majoriti, Perdana Menteri Melayu, Raja-raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong juga Melayu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kesimpulan bahawa orang Melayu tidak mungkin kehilangan negara hanya berdasarkan perkara itu tidak semestinya benar.

“Negara tidak hilang apabila majoriti menjadi minoriti. Negara hilang apabila majoriti kehilangan kuasa sebenar, tetapi masih memegang simbol. Jawatan politik tanpa kuasa ekonomi hanyalah perhiasan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, ekonomi akan diambil terlebih dahulu sebelum politik menyusul kemudian.

“Yang tinggal di hadapan hanyalah seorang Melayu sebagai boneka, sementara keputusan sebenar dibuat oleh dalang di tempat lain,” katanya.

‘Malaysian Malaysia’ dan sejarah PAP

Nazrin mengaitkan perkara itu dengan sejarah Pilihan Raya Umum pertama Malaysia pada 1964 apabila wujud persefahaman antara Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dan Ketua Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Menurut beliau, persefahaman itu menetapkan bahawa parti PAP hanya akan bertanding di Singapura dan tidak di Semenanjung Malaysia.

Namun, beliau menjelaskan persefahaman berkenaan bukan perjanjian bertulis dan menyifatkannya sebagai satu kesilapan politik.

Nazrin menceritakan, PAP kemudiannya bertanding di Semenanjung selepas Lee menjangkakan orang Cina Malaysia yang ketika itu diwakili MCA boleh dipujuk menyokongnya.

“Jika MCA tewas, beliau percaya Tunku akan menggantikan MCA dengan PAP dalam Perikatan,” imbasnya.

Beliau menyifatkan PAP pada dasarnya ialah parti yang didominasi kaum Cina, namun sentiasa memperlihatkan dirinya sebagai parti bukan perkauman.

Menurut Nazrin, untuk memenangi sokongan di Malaysia, sentimen cauvinis Cina diperlukan tetapi ia tidak boleh dilakukan secara terbuka.

“Sebagai ahli politik yang licik, Lee memperkenalkan slogan yang kelihatan tidak berbaur perkauman tetapi tetap menyemarakkan sentimen Cina. Slogan itu ialah ‘Malaysian Malaysia’,” jelasnya.

Nazrin menjelaskan, pada zahirnya slogan itu kelihatan memperjuangkan kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia, namun hakikatnya ia menafikan ketidakseimbangan sejarah antara Cina dan Melayu.

Beliau menambah, slogan itu turut menggambarkan seolah-olah orang Melayu menikmati kelebihan yang tidak adil.

Legasi PAP diwarisi DAP

Nazrin menyatakan orang Melayu berasa cemas kerana melihat kemungkinan penyatuan Cina di Semenanjung dengan Cina di Singapura, Sabah dan Sarawak akan mengubah imbangan kuasa politik.

Beliau menambah, perpecahan antara Umno dan PAS turut meningkatkan risiko kehilangan dominasi politik Melayu.

Menurutnya, PAP gagal menewaskan MCA, namun Tunku menyedari bahayanya sehingga Singapura disingkirkan daripada Malaysia setahun selepas pilihan raya.

Bagaimanapun, Nazrin menegaskan legasi ideologi PAP tidak berakhir kerana ia diwarisi oleh DAP.

“Slogan ‘Malaysian Malaysia’ terus digunakan dan kemudiannya ditukar kepada satu istilah baharu, ‘Meritokrasi’,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -