Jasa Dato’ Dr Rafie diingati penduduk DUN Ampangan

- Advertisement -

SEREMBAN: Penerimaan pengundi terhadap calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan berada pada tahap positif sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ke-16.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parlimen PAS Kawasan Sungai Buloh, Muhamed Ibrahim Ali, 62, berkata, hasil lawatan dan pertemuan bersama pengundi mendapati kebanyakan mereka mengenali calon berkenaan yang pernah bertanding di kawasan itu sebelum ini.

- Advertisement -

“Setakat ini alhamdulillah tempat-tempat yang kami telah lawat dan temu ramah, kebanyakan memberi jawapan yang positif. Background Dato’ ini pun calon kita, majoriti semua dah kenal beliau. Sebelum ini pun beliau telah bertanding di kawasan ini beberapa kali.

“Jadi tidak ada masalah,” ujar Muhamed kepada HarakahDaily di UDM Gedong Lalang 162, Ampangan di sini baru-baru ini.

Muhamed memaklumkan, sepanjang turun berkempen, jentera turut memberi penerangan kepada pengundi mengenai calon selain mengingatkan mereka supaya keluar mengundi.

“Pertama kita perkenalkan calon kita. Kemudian kita menasihatkan kepada pengundi-pengundi supaya hadir awal dan jika mereka memerlukan bantuan seperti kenderaan, insya-Allah kita akan bantu,” ceritanya.

Beliau menjelaskan, calon PN kali ini turut mendapat penerimaan baik daripada masyarakat Gedong Lalang kerana sudah dikenali di kawasan berkenaan.

Mengulas isu yang dibangkitkan pengundi sepanjang kempen, Muhamed menjelaskan, maklum balas diterima setakat ini adalah positif.

“Setakat ini yang saya temui semuanya memberi jawapan yang positif. Maknanya jasa Dato’ (Dr Mohamad Rafie Ab Malek) ini telah ada sebelum ini dekat sini (Ampangan). Jadi tidak ada masalah bagi saya, saya ingat insya-Allah (boleh berjaya),” ulasnya.

Mengenai kepentingan pengundi keluar mengundi pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Muhamed menegaskan, ia penting bagi menentukan perubahan terhadap pentadbiran sedia ada.

“Pentingnya mengundi kali ini seperti yang kita telah lihat dan dengar bagaimana kerajaan yang sedia ada ini tidak memberi hak yang sepatutnya kepada rakyat.

“Jadi banyak kemudahan-kemudahan sebelum ini yang ada telah pun disekat dan kita melihat kerajaan ini perlu ditukar, menggantikan dengan kerajaan baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -