N9 titik mula langkah tawan Malaysia

- Advertisement -

SEREMBAN: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) menyifatkan malam pengumuman calon gabungan itu di Negeri Sembilan sebagai detik bersejarah yang bakal menjadi permulaan langkah untuk menawan Malaysia.

- Advertisement -

Beliau menegaskan, Negeri Sembilan dipilih sebagai medan awal bagi memulakan langkah perubahan dalam negara dengan kehadiran pimpinan komponen PN, penyokong gabungan itu serta sejumlah Ahli Parlimen.

“Malam ini adalah malam yang cukup bersejarah kerana di Negeri Sembilanlah kita akan memulakan sejarah langkah untuk menawan Malaysia insya-Allah.

“Sebab itulah pada malam ini, selain pimpinan komponen dan pencinta PN, kita ada bersama puluhan Ahli Parlimen yang turut datang untuk menyaksikan.

“Di sinilah bermulanya titik untuk kita melakukan perubahan dalam negara kita ini,” ujarnya ketika berucap pada majlis dalam majlis pengisytiharan calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di KOMPAS Kampung Ismail, Ampangan, di sini, malam tadi.

Menteri Besar Terengganu itu dalam mengulas mengenai kerjasama menghadapi PRN Negeri Sembilan, beliau mengulangi bahawa Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebelum ini, menyatakan akan mempunyai persefahaman bersama rakan bagi berdepan pilihan raya negeri itu.

“Malam tadi (15 Julai) kita sama-sama menyaksikan Tok Mat (Dato’ Seri Utama Mohamad Haji Hasan) selaku Pengerusi BN Negeri Sembilan yang menyebut dalam pengisytiharan calon bahawa BN akan ada suatu persefahaman dengan ‘rakan’ untuk berdepan dalam pilihan raya di sini.

“Malam ini ‘rakan’ yang disebut sebagai ‘rakan yang baik’ itu akan mengisytiharkan calon memulakan langkah ini,” jelasnya.

Naib Presiden PAS itu turut memaklumkan pengumuman 11 calon PN pada malam itu melengkapkan keseluruhan 36 calon yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

“Kita akan melengkapkan 11 campur dengan yang diisytiharkan malam tadi (oleh BN Negeri Sembilan) 25 (calon) menjadikan 36 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan kali ini,” serunya.

Dr Sam menjelaskan, semua calon yang bertanding akan membawa identiti sebagai calon PN, bukan dilihat berdasarkan parti komponen yang diwakili.

“Calon-calon yang bertanding pada kali ini kita tidak panggil calon daripada PAS, daripada WAWASAN, daripada MIPP, daripada GERAKAN. Tapi kita panggil mereka sebagai calon PERIKATAN NASIONAL, calon-calon kita bersama,” tegasnya.

Beliau menambah, semua calon berkenaan akan membawa panji PN dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan sebagai satu perjuangan penting dan besar.

“Kesemua mereka ini akan membawa panji PN memulakan langkah yang sangat penting dan besar di Negeri Sembilan ini.

“Insya-Allah kita akan memulakan perjuangan kita untuk kita menang (pula) nanti dalam Pilihan Raya Umum di Malaysia. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2026

- Advertisement -