
KUALA LUMPUR: BERSATU dilaporkan memilih untuk bergerak secara ‘mufaraqah’ daripada Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan susulan tindakan parti itu mengumumkan keputusan untuk bertanding menggunakan logo sendiri.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan BERSATU mendahului ketetapan rasmi Majlis Tertinggi (MT) PN berhubung perkara itu bagaimanapun merupakan hak parti berkenaan yang perlu dihormati oleh semua pihak.
Menurut beliau, Majlis Tertinggi PN sebenarnya hanya akan memuktamadkan perkara berkaitan calon, pembahagian kerusi dan penggunaan lambang parti dalam satu mesyuarat khas yang dijadualkan berlangsung pagi ini.
“Di pihak Perikatan Nasional, soal calon, kerusi dan lambang hanya akan di muktamadkan esok (hari ini) 16 Julai 2026 jam 9.30 pagi melalui Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN.
“Pilihan BERSATU untuk mendahului keputusan MT PN adalah hak mereka dan kita harus menghormatnya,” katanya dalam satu kenyataan berhubung persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tengah malam tadi.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno mendedahkan bahawa keputusan diambil oleh BERSATU itu bukan sesuatu mengejutkan pimpinan gabungan tersebut.
Hal ini kerana beliau menyatakan pihaknya telah menerima maklumat bertulis berhubung perancangan BERSATU untuk menggerakkan platform politik lain sejak bulan lalu.
“Keputusan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak bulan lalu (sebelum penamaan calon PRN Johor) kita telah di maklumkan serta diberi bukti dan maklumat secara hitam putih.
“(Iaitu) perancangan BERSATU untuk menghidupkan satu platform politik yang lain,selain Perikatan Nasional. Kita juga memahami dari awal penentangan BERSATU secara konsisten.
“(Iaitu) terhadap usaha Penyatuan dan Muafakat Melayu serta menolak usaha membuka Perikatan Nasional kepada lebih banyak parti Melayu yang lain,” katanya.
Annuar juga mendedahkan, BERSATU sebelum ini telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, permintaan tersebut disifatkan sukar dipenuhi memandangkan PN dianggotai oleh enam parti gabungan turut menuntut pembahagian kerusi yang adil.
“Apa jua alasan yang di gunakan untuk bertanding dengan logo sendiri di PRN NS, kita fahami terutama bila BERSATU sebenarnya telah memaklumkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN.
“(Iaitu) hasrat mahu 15 kerusi (wish list) bagi PRN Negeri Sembilan, yang sudah pasti tidak tertunai oleh Perikatan Nasional yang mempunyai 6 parti gabungan.
“Justeru keputusan menggunakan logo sendiri adalah terbaik bagi BERSATU dan perlu dihormati. BERSATU kini bebas utk bertanding 15 kerusi atau lebih dalam PRN NS ini. Kita ucap selamat maju jaya kepada BERSATU,” ujarnya lagi.
PN bagaikan mencapai satu lagi kemelut politik dalaman selepas BERSATU mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan hala tuju parti menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Dalam mesyuarat tersebut, pimpinan tertinggi BERSATU secara rasmi memutuskan untuk tidak menggunakan logo PN, sebaliknya akan mempertaruhkan lambang parti mereka sendiri pada kertas undi.
Keputusan malam tadi dilihat didorong oleh rasa tidak puas hati BERSATU berhubung formula agihan kerusi dalam PN yang mahukan banyak kerusi di PRN Negeri Sembilan.
Dengan menggunakan logo sendiri, BERSATU kini tidak lagi terikat dengan konsensus enam parti komponen PN di negeri tersebut dan mempunyai kebebasan mutlak meletakkan calon di mana-mana kerusi disasarkan.
Tumpuan kini terarah kepada impak ‘mufaraqah’ ini terhadap corak pertandingan yang dijangka melibatkan persaingan sengit berbilang penjuru. – HARAKAHDAILY 16/7/2026













