Pengkhianatan: PAS Perlis pertahan prinsip kerjasama politik

- Advertisement -

KANGAR: PAS Negeri Perlis bertegas tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan individu yang terlibat dengan pengkhianatan terhadap PAS, demikian tegas Pesuruhjaya PAS Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali.

“Kita tidak akan menjalankan kerjasama dengan individu yang berasal daripada BERSATU kemudian keluar daripada BERSATU dan kini menyertai WAWASAN, selagi isu berkenaan belum diselesaikan oleh pihak BERSATU,” ujarnya.

- Advertisement -

Menurut beliau, pendirian itu diambil berasaskan prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan dalam setiap bentuk kerjasama politik sebagaimana dalam surah al-Isra’ ayat 34.

Jelas beliau, PAS Perlis berpandangan bahawa setiap perjanjian antara parti-parti gabungan hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan sebaik-baiknya kerana pelanggaran terhadap sebarang perjanjian jelas menunjukkan berlakunya pengkhianatan serta ketidakharmonian.

Tegas Tuan Guru, setiap isu yang melibatkan pengkhianatan terhadap perjuangan perlu ditangani secara bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan.

“Pendirian tidak menjalinkan kerjasama dengan kumpulan berkenaan diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah serta bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik.

“Dalam masa sama, PAS Perlis berpandangan BERSATU perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan tersebut, sekiranya terdapat asas serta melalui proses sewajarnya,” tambah beliau lagi.

Tuan Guru Ahmad berkata, selagi tiada penyelesaian atau tindakan yang jelas terhadap perkara itu, PAS Perlis berpendirian bahawa kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan.

“PAS Perlis kekal komited memperkukuh kesatuan dalam kalangan rakan-rakan gabungan yang benar-benar ikhlas mempertahankan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“PAS Perlis sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam serta membuat setiap keputusan politik berdasarkan maslahah, keadilan dan kepentingan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2026

- Advertisement -