
SEREMBAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mampu menjadi titik permulaan gelombang baharu politik negara, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, ‘gelombang hijau’ yang dimainkan pihak tertentu bagi menakut-nakutkan pengundi, khususnya masyarakat Tionghua, tidak lagi berkesan kerana rakyat kini mempunyai akses luas kepada maklumat dan mampu membuat penilaian sendiri.
Menurut beliau, sejarah membuktikan bahawa propaganda yang cuba menakutkan pengundi terhadap PAS akhirnya memakan diri apabila rakyat semakin bijak menilai fakta berbanding persepsi.
“Sejarah membuktikan, lagi kuat mereka menakutkan pengundi Tionghua, lagi teruk mereka ditolak oleh pengundi Tionghua. Mereka sudah hilang sokongan di Sabah, baru-baru ini hilang sokongan di Johor.
“Kali ini DAP akan hilang sokongan di Negeri Sembilan, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PN bagi PRN Negeri Sembilan, di sini semalam.
Beliau berkata, sokongan terhadap PAS dan PERIKATAN NASIONAL terus berkembang secara konsisten sejak beberapa pilihan raya lalu, bermula di Kelantan sebelum merebak ke Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan Perak.
Menurutnya, momentum itu diyakini akan diterjemahkan di Negeri Sembilan pada PRN kali ini di mana gelombang yang sama akan menenggelamkan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Adat Perpatih tersebut.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan era politik yang bergantung kepada persepsi dan pembohongan sudah berakhir kerana pengundi hari ini lebih celik maklumat serta memperoleh pelbagai sumber maklumat di hujung jari.
“Tak perlu berbohong kerana pengundi tahu menilai,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Timbalan Pengerusi PN.
Beliau berkata, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pertandingan memilih kerajaan negeri, sebaliknya menjadi mukadimah kepada perubahan lebih besar dalam landskap politik negara.
“Pilihan raya kali ini adalah mukadimah penting kepada satu perubahan dan satu elemen baharu dalam politik Malaysia. Inilah yang sedang ditunggu oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kekuatan PERIKATAN NASIONAL pada PRN kali ini terletak pada kesepaduan semua parti komponen yang bergerak sebagai satu pasukan, termasuk PAS, GERAKAN, MIPP dan PEJUANG.
Katanya, walaupun PEJUANG tidak bertanding di banyak kerusi, parti itu tetap memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jentera dan perjuangan gabungan berkenaan.
Menyentuh soal pemilihan calon, Tuan Ibrahim berkata, PAS mengamalkan proses tapisan yang ketat bagi memastikan hanya individu paling layak diketengahkan kepada rakyat.
Menurutnya, setiap calon melalui penelitian menyeluruh oleh Majlis Syura Ulama yang bukan sahaja menilai kelayakan individu, malah latar belakang keluarga, kemampuan berkhidmat, kesungguhan dan kerajinan sebelum mendapat kelulusan kepimpinan pusat.
“Kita bukan sekadar melihat calon, tetapi turut meneliti latar belakang keluarga, kemampuan berkhidmat kepada rakyat, kesungguhan dan kerajinan mereka sebelum diluluskan oleh Majlis Syura dan dipilih oleh kepimpinan Pusat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan semua calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL telah melafazkan akujanji untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan serta memastikan amanah diberikan tidak akan dipersiakan.
“Calon-calon kita telah mengadakan akujanji untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan sebaik mungkin dan memastikan kemenangan yang diberikan oleh rakyat tidak akan disia-siakan,” katanya.
Menurut beliau, PERIKATAN NASIONAL berhasrat membentuk sebuah kerajaan yang mampu meneruskan aspirasi rakyat dengan membina negara bertamadun, harmoni dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh penyokong PERIKATAN NASIONAL bersiap sedia menghadapi hari penamaan calon pada Sabtu ini yang disifatkannya bakal menjadi permulaan kepada gelombang baharu dalam landskap politik negara.
“Hari Sabtu nanti, tuan-tuan akan menyaksikan satu gelombang baharu dalam landskap politik Malaysia, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2026














