Politik negara bakal berubah bermula dari PRN N9?

- Advertisement -

SEREMBAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai medan penting untuk memulakan perubahan politik negara dengan menawarkan sebuah pentadbiran yang lebih stabil, bersih dan mengutamakan kebajikan rakyat.

- Advertisement -

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, penyertaan PERIKATAN NASIONAL dalam pilihan raya itu bukan semata-mata untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya bagi membina momentum kebangkitan gabungan tersebut menuju Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.

Menurutnya, kemenangan di Negeri Sembilan bakal menjadi titik tolak kepada usaha PERIKATAN NASIONAL memperkukuhkan kedudukannya di negeri-negeri lain sebelum kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.

“Kita ambil bahagian dalam PRN Negeri Sembilan kerana kita mahu kestabilan politik di negara kita. Kita mahu Negeri Sembilan menjadi titik permulaan kepada kejayaan PERIKATAN NASIONAL.

“Dari Negeri Sembilan kita mara ke Melaka, dan dari Melaka kita mara ke PRU Ke-16. Daripada pembangkang, kita akan mara menjadi kerajaan di Putrajaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRN Negeri Sembilan, di sini.

Mengulas keadaan semasa negara, Dominic Lau berkata, semakin ramai rakyat meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi Kerajaan Madani kerana gagal menangani isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat.

Katanya, kos sara hidup terus meningkat, kenaikan harga barang, peluang pekerjaan masih terhad, kesukaran golongan muda memiliki rumah, peniaga kecil terus bergelut serta pelaburan semakin berkurangan merupakan antara masalah belum berjaya diselesaikan kerajaan.

“Masyarakat sekarang susah. Kos sara hidup sangat tinggi, harga barang semuanya naik. Apa yang turun? Hujan sahaja yang turun, semua yang lain naik.

“Peluang pekerjaan tidak mencukupi, perniagaan kecil masih bergelut, golongan muda sukar memiliki rumah sendiri dan pelabur pula dikatakan semakin menjauh. Semua ini adalah isu yang kerajaan tidak berjaya selesaikan,” katanya.

Beliau turut memberitahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim gagal menunaikan pelbagai janji reformasi yang pernah dijanjikan kepada rakyat.

Menurutnya, rakyat kini tidak lagi mengharapkan sebuah kerajaan yang hanya pandai berpidato atau membuat janji, sebaliknya mahukan kepimpinan mampu menyelesaikan masalah, mendengar denyut nadi rakyat dan meletakkan kepentingan masyarakat sebagai keutamaan.

“Rakyat mahu kerajaan mampu menyelesaikan masalah, bukan kerajaan pandai bercakap, pandai berucap dan pandai berjanji, tetapi tidak boleh melaksanakan apa-apa. Mereka mahukan kerajaan yang sentiasa mendengar rakyat dan benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Negeri Sembilan agar memberikan mandat kepada PERIKATAN NASIONAL pada pilihan raya kali ini kerana pilihan raya bukan sekadar memilih calon, tetapi menentukan masa depan.

Dalam pada itu, Dominic Lau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti komponen PERIKATAN NASIONAL yang terdiri daripada PAS, GERAKAN, MIPP dan PEJUANG yang disifatkannya sebagai tulang belakang perjuangan gabungan itu sepanjang kempen PRN.

Beliau mengingatkan semua jentera supaya tidak mudah berputus asa meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh berkempen di mana mengakui kesukaran berkempen dan merayu undi, namun perjuangan ini adalah untuk rakyat.

“Tidak ada kemenangan tanpa perjuangan. Turunlah ke setiap kampung, masuk ke setiap taman, ketuk setiap pintu rumah, berikan senyuman kepada pengundi dan dengarlah masalah mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa seluruh jentera supaya terus bergerak sebagai satu pasukan dengan penuh disiplin, keikhlasan serta menghormati kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Katanya, semangat tersebut menjadi kunci kepada kemenangan PERIKATAN NASIONAL pada hari pengundian, 1 Ogos depan.

“Kita berjanji untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik, lebih bersih, lebih stabil dan lebih mampu membawa Malaysia ke hadapan.
Sokonglah dan undilah PERIKATAN NASIONAL demi masa depan rakyat serta negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2026

- Advertisement -