
SEREMBAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) komited untuk membawa perubahan kepada pentadbiran Negeri Sembilan dengan menawarkan calon-calon terbaik kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kepimpinan baharu yang lebih bertanggungjawab dalam mentadbir negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di KOMPAS Kampung Ismail, Ampangan, di sini semalam.
Menurutnya, hasrat utama gabungan itu adalah untuk membawa perubahan yang mampu memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Bukan setakat memperkenalkan calon-calon yang akan ditawarkan kepada rakyat, malah kita mahu membawa satu perubahan selepas ada pihak yang diberi amanah oleh rakyat tetapi tidak memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab dalam mengurus dan mentadbir Negeri Sembilan.
“Itulah sebabnya apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan, kita berharap rakyat akan bersama-sama membawa satu perubahan yang akan dimanfaatkan oleh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Mukhriz turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua penyokong serta hadirin yang hadir bagi memberikan sokongan kepada calon-calon bakal bertanding mewakili PN.
Menurutnya, kehadiran orang ramai membuktikan semangat serta kesediaan jentera gabungan itu untuk menghadapi pilihan raya yang bakal berlangsung.
Dalam pada itu, beliau menegaskan semua komponen dalam keluarga besar PN akan terus bergerak seiring bagi memastikan kemenangan gabungan tersebut.
Katanya, walaupun terdapat parti yang lebih kecil dalam gabungan itu, semangat kerjasama tetap menjadi keutamaan demi mencapai matlamat bersama.
“Maka niat kita tidak lain dan tidak bukan. Walaupun ada yang dianggap ‘bongsu’ dalam keluarga besar PERIKATAN NASIONAL, semua akan terus bersama PN dan akan berkempen sedaya-upaya bagi memastikan kemenangan gabungan ini,” ujarnya.
Justeru, beliau turut merakamkan penghargaan atas peluang yang diberikan untuk bertemu para penyokong serta memperkenalkan calon-calon PN kepada rakyat menjelang PRN Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 17/7/2026











