
SEREMBAN: Setiap pilihan raya mempunyai formula berbeza dan pendekatan yang digunakan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan berbeza berbanding Johor.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar percaya (PN) mampu mencatatkan keputusan lebih baik di Negeri Sembilan berbanding pencapaian dalam pilihan raya di Johor.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas Majlis pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di KOMPAS Kampung Ismail, Ampangan, di sini, malam tadi.
Ditanya sama ada PN akan membantu Barisan Nasional (BN) dalam kempen PRN Negeri Sembilan, beliau berkata, kedua-dua pihak akan mempunyai persefahaman mengenai kaedah untuk bergerak sepanjang tempoh kempen.
“Walau dalam satu cara atau yang lain, kita akan mempunyai sedikit persefahaman bagaimana kita boleh bergerak dengan kempen dan kita akan lihat selepas penamaan calon,” ulasnya.
Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama bersama BN ketika tempoh kempen, Ahmad Samsuri menjelaskan, perkara itu tidak akan diumumkan lebih awal kerana ia akan menjadi sesuatu yang boleh dilihat oleh pemerhati politik dan rakyat.
“Saya tidak akan beri kejutan dengan memberitahu lebih awal. Apabila berlaku penamaan calon dan tempoh kempen, perkara luar biasa seperti jajaran baharu dan cara kempen baharu ini akan dilihat oleh pemerhati politik dan rakyat.
“Saya tidak akan sebut lebih awal, masing-masing boleh tengok nanti,” jawab beliau yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu.
Dr Sam turut tidak menolak kemungkinan bentuk kerjasama antara PN dan BN diteruskan dalam pilihan raya akan datang sekiranya gabungan itu mencapai keputusan lebih baik di Negeri Sembilan.
“Kita sentiasa melakukan penambahbaikan apabila berdepan sesuatu pilihan raya. Jika keputusan yang mampu kita capai dalam pilihan raya di Negeri Sembilan ini kita tambah baik lagi, supaya pilihan raya lain yang berikutnya kita akan mendapat keputusan lebih baik,” terangnya.
Ditanya sama ada beliau menafikan kerjasama seumpama itu pada masa akan datang, Ahli Parlimen Kemaman itu tidak menafikan dan akan menuju ke arah yang lebih baik.
Mengenai kemungkinan parti Melayu lain seperti BERJASA atau parti lain diterima masuk PERIKATAN NASIONAL, beliau berkata perkara itu masih belum dibincangkan.
“Belum dibincangkan lagi,” jawab bekas Setiausaha Politik Presiden PAS itu.
Sementara itu, Ahmad Samsuri menjelaskan, isu calon Menteri Besar sekiranya PN dan BN memenangi PRN Negeri Sembilan juga masih belum dibincangkan.
“Kita belum bincang lagi mengenai isu itu. Kita beri ruang sepanjang tempoh kempen dan saya fikir perkara itu akan dapat dilihat nanti,” jawabnya lagi.
Beliau memaklumkan, kerjasama antara PN dan BN adalah satu langkah penting bukan sahaja kepada pengundi Melayu, malah pengundi pelbagai kaum di Negeri Sembilan.
“Saya percaya ini merupakan satu langkah yang sangat penting, bukan sahaja kepada pengundi Melayu tetapi juga pengundi pelbagai kaum di Negeri Sembilan.
“Mereka akan melihat satu bentuk kestabilan baharu boleh dicapai dengan jajaran baharu begini. Ia akan memberi nafas baharu yang lebih segar kepada suasana politik dalam negara kita, insya-Allah,” ulasnya.
Mengulas kebimbangan dalam kalangan pengundi Cina dan bukan Melayu terhadap PN, Dr Sam menegaskan, tiada perkara perlu ditakuti kerana PN turut bekerjasama dengan masyarakat Cina dan India.
“Tiada perkara yang perlu ditakuti oleh sesiapa sama ada Melayu atau bukan Melayu. Dalam PERIKATAN NASIONAL, kita bekerjasama dengan Cina dan India.
“Ketakutan yang dicetuskan oleh individu tidak bertanggungjawab adalah sesuatu yang kita tidak mahu lihat dalam politik,” tegasnya.
Mengenai 11 calon PERIKATAN NASIONAL yang bertanding di Negeri Sembilan, beliau berkata, calon yang dipilih terdiri daripada gabungan muka lama dan baharu.
“Ada muka lama yang mempunyai pengalaman dan muka baharu tetapi mempunyai pelbagai pengalaman dalam pentadbiran. Ini untuk memberikan kerencaman dan kepelbagaian apabila kita menjadi kerajaan di Negeri Sembilan nanti,” jawabnya.
Beliau turut menegaskan semua kerusi yang ditandingi PERIKATAN NASIONAL adalah kerusi boleh dimenangi.
“Insya-Allah, kita bertanding untuk menang,” tegasnya.
Ditanya mengapa PN membantu BN, Ahmad Samsuri berkata, matlamat utama adalah untuk melihat keadaan masyarakat menjadi lebih baik.
“Kita adalah kumpulan yang sangat praktikal. Sama ada PAS atau parti lain dalam PERIKATAN NASIONAL, kita mahu bekerjasama untuk mencapai keadaan lebih baik dalam negara kita,” katanya.
Mengenai perbandingan jumlah kerusi yang ditandingi PN dan BN, beliau menjelaskan, jumlah kerusi BN lebih banyak kerana sebahagian besar kerusi ditandingi mereka adalah kawasan dimenangi sebelum ini.
“Oleh kerana bilangan kerusi asas mereka yang merupakan kerusi dimenangi lebih banyak berbanding PN, tentulah bilangan asas mereka besar.
“Pada kita, 26 kerusi yang ditandingi ini adalah kerusi yang mempunyai potensi untuk dimenangi sama ada oleh BN ataupun PN,” katanya. – *HARAKAHDAILY 17/6/2026*














