
SEREMBAN: Presiden WAWASAN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin yakin jajaran baharu yang dibentuk mampu membawa perubahan dalam pentadbiran negara, termasuk di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 kali ini.
Beliau berkata, kerjasama antara parti dalam PERIKATAN NASIONAL menunjukkan usaha bersama untuk memperjuangkan masa depan rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa.
“Saya dengar ucapan daripada Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan. Dia kata, ‘Hari ini kita umum 25 (kerusi). Esok kita mahu mendengar ‘rakan baik kita’ untuk mengumumkan yang selebihnya’.
“Kerusi Negeri Sembilan 36, dia umum 25. Kita (PERIKATAN NASIONAL) akan umum 11 (kerusi). Apa maknanya? Maknanya kita mengambil alih negara kita ini melalui jajaran baharu kita, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di KOMPAS Kampung Ismail, Ampangan, di sini, malam tadi.
Untuk masa depan rakyat Malaysia
Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, kepimpinan yang ada dalam PERIKATAN NASIONAL tidak mempunyai kepentingan peribadi sebaliknya berjuang demi masa depan rakyat negara ini.
“Yakinlah, percayalah bahawa pimpinan yang ada ini tidak ada berkepentingan sekalipun. Yang penting kami berjuang demi untuk masa depan rakyat negara kita yang kita cintai.
“Kami bukan hanya berjuang untuk orang Melayu. Kami bukan hanya berjuang untuk orang Cina. Kami bukan hanya berjuang untuk orang India atau apa bangsa sekalipun,” tegasnya.
Bekas Timbalan Presiden BERSATU itu memaklumkan, perjuangan itu adalah untuk membawa wajah Malaysia baharu dengan masa depan yang lebih baik.
“Kami berjanji perjuangan kami adalah untuk masa depan rakyat Malaysia, wajah Malaysia yang baharu akan kita ketengahkan untuk masa depan yang lebih baik, insya-Allah,” ulasnya.
PN yakin capai kejayaan di N9
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu berkata, keyakinan itu didorong kesediaan jentera parti bekerja kuat bagi memastikan calon yang diketengahkan mampu memenangi PRN Negeri Sembilan.
“Saya yakin kita boleh lakukan. Saya yakin kita boleh mencapai kejayaan. Buktinya apabila kita semua sanggup untuk bekerja kuat untuk memastikan calon-calon kita nanti menang dalam pilihan raya Negeri Sembilan ini.
“Insya-Allah saya yakin apabila melihat begitu ramainya, insya-Allah jentera kita bersedia untuk bertempur dengan mereka yang tidak mahukan masa depan yang lebih baik,” jelasnya.
Beliau menegaskan, calon-calon diketengahkan pada PRN ini adalah mereka yang berjanji untuk berjuang bersama rakyat demi masa depan Negeri Sembilan.
“Masa depan kestabilan negara, masa depan untuk kita membangunkan Negeri Sembilan. Kami hari ini menentukan calon-calon yang kita ketengahkan ini adalah mereka yang sudah berjanji berjuang bersama rakyat dan masa depan Negeri Sembilan yang lebih baik,” terangnya.
Landskap politik negara berubah
Hamzah menjelaskan, landskap politik negara kini berubah dan tidak lagi hanya bergantung kepada satu parti atau satu kelompok tertentu untuk memimpin.
Jelasnya, perubahan itu berlaku apabila majoriti pengundi mahu melihat aspek lebih luas termasuk kesejahteraan rakyat, kestabilan dan perpaduan.
“Tapi bagi masa depan kita, kita perlukan rakan-rakan. Kita bukan hanya ada di hadapan ini. Cuba kita lihat daripada landskap politik negara kita. Ianya berubah daripada masa ke semasa.
“Satu ketika negara ini dipimpin oleh hanya sebuah parti yang dominan, tetapi akhir-akhir ini ianya berubah.
“Dia bukan hanya boleh dipimpin oleh satu parti sahaja atau satu golongan kumpulan semata-mata kerana majoriti pengundi-pengundi dalam negara kita sudah berubah,” tegasnya lagi.
Beliau menyatakan, rakyat bukan sahaja mahu melihat pembangunan infrastruktur, tetapi turut menilai kesejahteraan, kestabilan dan perpaduan.
“Inilah yang sekarang ini yang dimahukan oleh rakyat Malaysia yang ada dalam negara,” ulasnya lagi.
Rakyat mahu perubahan
Hamzah menyatakan, beliau tidak pernah melihat seorang Perdana Menteri diberikan pelbagai gelaran seperti yang berlaku ketika ini menerusi media sosial.
“Kalau kita lihat dari segi kepimpinan Malaysia hari ini, tidak pernah saya sebagai orang tua ini nak maklumkan, belum pernah saya melihat seorang Perdana Menteri yang diberikan macam-macam nama bila saya tengok daripada media sosial.
“Apa nak jadi dengan negara kita ini? Kalau rakyat sudah tidak menghormati pemimpin negara,” tempelaknya terhadap pemimpin tertinggi negara yang kini menjadi cemuhan rakyat.
Beliau berkata, PERIKATAN NASIONAL yakin mampu menerajui negara pada pilihan raya akan datang sekiranya strategi yang dirangka dapat dilaksanakan bersama.
“Sebab itu saya yakin kalau kita boleh bersama, kalau kita kena dengan strategi yang ada, insya-Allah PERIKATAN NASIONAL akan menerajui negara kita ini dalam pilihan raya yang akan datang, insya-Allah,” ucapnya dengan penuh keyakinan.
Mengulas mengenai Negeri Sembilan, Hamzah menyatakan, negeri itu menjadi antara tumpuan utama bagi rakyat yang mahukan perubahan.
“Maka sebab itu kepada rakyat yang mahukan perubahan, yang mahu melihat pembangunan yang lebih hebat, inilah masanya untuk kita buktikan bahawa kita mahu mengubah kepimpinan yang sama dengan pimpinan yang ada dalam negara kita.
“Kalau rakyat tidak mahu mengubahnya, maka bermakna rakyat masih lagi mahu kekalkan kerajaan yang dipimpin oleh Madani.
“Jadi kalau rakyat mahu perubahan, inilah masanya. Inilah masanya kita buktikan. Inilah masanya untuk kita mahu melihat satu negeri yang akan bertambah maju daripada sekarang. Insya-Allah mesti kena dengan strateginya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/6/2026











