PRN Johor medan rakyat hantar isyarat perubahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Johor menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan medan terbaik untuk rakyat menghantar isyarat perubahan kepada kerajaan negeri, meskipun PAS ketika ini tidak berada dalam pentadbiran.

Ketuanya, Zakiah Tukirin berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bahawa PAS tidak berada dalam kerajaan negeri hanya menggambarkan kedudukan pentadbiran semasa, namun hak menentukan kerajaan tetap berada di tangan rakyat melalui proses demokrasi.

- Advertisement -

“Pilihan Raya Negeri adalah ruang untuk rakyat menilai prestasi kerajaan sedia ada dan menentukan hala tuju baharu sekiranya rakyat menginginkan perubahan.

“Dalam demokrasi, kerajaan dibentuk atas mandat rakyat, dan mandat itu sentiasa berada di tangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, PAS bersama Perikatan Nasional tidak menjadikan penyertaan dalam kerajaan sebagai matlamat utama, sebaliknya menawarkan kepimpinan yang berintegriti, tadbir urus telus serta dasar yang membela kebajikan rakyat.

Katanya, antara keutamaan yang dibawa ialah penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan serta pembangunan yang lebih seimbang di Johor.

Beliau berkata, sepanjang berada di luar kerajaan negeri, PAS tetap memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan serta melaksanakan fungsi semak dan imbang demi kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, Zakiah mengajak seluruh rakyat Johor supaya membuat penilaian berdasarkan rekod pencapaian, integriti calon, idea yang ditawarkan serta keupayaan memimpin negeri ke arah yang lebih baik.

Beliau turut menyeru golongan muda, wanita dan pengundi kali pertama supaya keluar mengundi kerana setiap undi merupakan amanah yang akan menentukan corak kepimpinan negeri pada masa hadapan.

“Gunakanlah undi sebagai isyarat bahawa rakyat mahukan pentadbiran yang lebih telus, berintegriti, bebas daripada penyalahgunaan kuasa, amalan kronisme dan segala bentuk rasuah.

“Johor memerlukan kepimpinan yang amanah, bukan politik kronisme, nepotisme atau politik yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, PAS akan terus membawa pendekatan politik matang, berhemah dan berasaskan fakta, selain mengutamakan perpaduan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata, kepimpinan berpaksikan nilai Islam yang diperjuangkan PAS mampu menjamin kestabilan, integriti, keadilan dan kebajikan seluruh rakyat.

Mengakhiri kenyataannya, Zakiah mengajak rakyat Johor bersama-sama mencipta ‘Gelombang Hijau’ melalui demokrasi yang aman dan berintegriti dengan memilih calon yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat pada hari pengundian. – HARAKAHDAILY 11/7/2026

- Advertisement -