
PENDAHULUAN
Pilihan raya dalam sistem demokrasi moden merupakan mekanisme utama bagi menentukan siapakah yang diberikan amanah untuk mentadbir sesebuah negara.
Bagi seorang Muslim, mengundi bukan sekadar hak sebagai warganegara, bahkan ia merupakan satu amanah yang mempunyai nilai ibadah apabila dilaksanakan dengan niat menegakkan keadilan, memelihara agama dan membawa maslahat kepada masyarakat.
Islam bukan sekadar mengajar hubungan manusia dengan Allah melalui ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat.
Sebaliknya, Islam ialah al-Din yang mengatur seluruh aspek kehidupan termasuk pemerintahan, pentadbiran, ekonomi, kehakiman dan kemasyarakatan.
Justeru, persoalan memilih pemimpin bukanlah isu politik semata-mata tetapi sebahagian daripada tanggungjawab agama.
Manusia diciptakan dengan tiga amanah besar
Al-Quran menjelaskan bahawa manusia diciptakan dengan dua tujuan utama yang saling melengkapi.
Pertama: Beribadah kepada Allah
Allah SWT berfirman, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat: 56)
Ibadah dalam Islam tidak terbatas kepada ritual semata-mata. Ia merangkumi seluruh kehidupan yang dilaksanakan menurut syariat Allah.
Oleh itu, menerima hukum Allah dalam urusan pemerintahan, pentadbiran dan kehidupan bermasyarakat juga termasuk dalam makna pengabdian kepada-Nya.
Firman Allah SWT, “Tidaklah patut bagi lelaki dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan, mereka masih mempunyai pilihan yang lain terhadap urusan mereka.” (Surah al-Ahzab: 36)
Ini menunjukkan bahawa urusan politik dan pemerintahan tidak terpisah daripada tuntutan ibadah.
Kedua: Menjadi khalifah di bumi
Allah SWT juga mengisytiharkan tujuan penciptaan manusia sebagaimana firmanNya, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (Surah al-Baqarah: 30)
Khalifah bermaksud manusia dipertanggungjawabkan mengurus kehidupan menurut petunjuk Allah.
Rasulullah SAW sendiri bukan sahaja seorang nabi dan pendakwah, bahkan seorang ketua negara yang memimpin masyarakat Madinah.
Baginda bersabda bahawa selepas kewafatan para nabi, urusan manusia akan dipimpin oleh para khalifah.
Ini menunjukkan bahawa kepimpinan politik merupakan kesinambungan tanggungjawab mengurus kehidupan umat menurut syariat Allah.
Justeru, memilih pemimpin yang mampu melaksanakan amanah tersebut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab umat.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menghukum antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’: 58)
Ayat ini menjadi asas bahawa kepimpinan ialah amanah, bukannya keistimewaan atau peluang memperoleh kuasa.
Pemimpin wajib berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Oleh sebab itu, memilih pemimpin juga merupakan amanah.
Mengundi sebagai wasilah menunaikan kewajipan
Mengundi bererti memberikan kepercayaan kepada seseorang untuk memikul tanggungjawab yang besar di sisi Allah.
Walaupun al-Quran tidak menyebut pilihan raya dalam bentuk yang diamalkan hari ini, kaedah fiqh yang disepakati ulama menyatakan, “Apa yang tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia juga menjadi wajib.
Jika pada zaman moden pemimpin dipilih melalui pilihan raya, maka keluar mengundi pula menjadi wasilah untuk melaksanakan kewajipan memilih pemimpin yang amanah dan berintegriti.
Oleh itu, mengundi bukan sekadar hak demokrasi, bahkan boleh menjadi kewajipan syarak apabila dengannya dapat dipelihara agama, keadilan, keamanan dan kepentingan masyarakat.
Politik dalam Islam bukan sesuatu yang kotor
Sering kali kedengaran ungkapan bahawa ‘politik itu kotor’. Hakikatnya, Islam tidak pernah mengajar demikian.
Yang kotor ialah penipuan, rasuah, fitnah, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa oleh manusia.
Politik yang dipandu wahyu ialah medan dakwah, amar makruf nahi mungkar dan menegakkan keadilan.
Semua nabi menghadapi pemerintah pada zaman masing-masing.
Rasulullah SAW sendiri membangunkan sebuah negara yang berteraskan wahyu.
Ini membuktikan bahawa politik merupakan sebahagian daripada medan risalah para nabi.
Bahaya sikap tidak peduli politik
Apabila umat Islam mengabaikan tanggungjawab memilih pemimpin yang baik, mereka sebenarnya menyerahkan masa depan masyarakat kepada pihak lain.
Allah SWT mengingatkan, “Janganlah kamu berbantah-bantahan sehingga kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.” (Surah al-Anfal: 46)
Rasulullah SAW juga memberi amaran bahawa antara perkara pertama yang akan terungkai daripada ikatan Islam ialah sistem pemerintahan yang berasaskan hukum Allah sebelum akhirnya manusia meninggalkan solat.
Ini menunjukkan bahawa kelemahan politik akhirnya membawa kelemahan agama, ekonomi, pendidikan dan kehidupan umat secara keseluruhannya.
Mengundi sebagai sebahagian amar makruf dan nahi mungkar
Islam memerintahkan umatnya supaya sentiasa menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Dalam konteks negara moden, antara cara melaksanakan tanggungjawab tersebut ialah memilih pemimpin yang amanah, berintegriti, adil serta mampu mempertahankan kepentingan agama, rakyat dan negara.
Sabda Rasulullah SAW, “Kamu hendaklah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Jika tidak, Allah akan menguasakan ke atas kamu orang-orang yang jahat.”
Hadis ini memberi peringatan bahawa sikap pasif terhadap urusan kepimpinan boleh mengundang musibah kepada masyarakat.
Memilih pemimpin dengan hikmah dan keadilan
Islam tidak mengajar fanatisme buta terhadap bangsa atau kelompok tertentu. Sebaliknya, Islam menuntut keadilan kepada seluruh manusia.
Allah SWT berfirman, “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama.” (Surah al-Mumtahanah: 8)
Oleh itu, ukuran utama dalam memilih pemimpin ialah iman, amanah, keadilan, kecekapan, integriti serta kemampuan menjaga maslahat rakyat dan mempertahankan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran negara.
Penutup
Mengundi bukan sekadar memasukkan kertas undi ke dalam peti undi. Ia adalah penyaksian, amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Seorang Muslim tidak boleh memandang ringan hak mengundi, apatah lagi menjual undi atau bersikap tidak peduli terhadap masa depan negaranya.
Setiap undi merupakan satu bentuk syahadah terhadap kelayakan seseorang memimpin masyarakat.
Justeru, setiap Muslim hendaklah keluar mengundi dengan ilmu, hikmah dan keikhlasan, memilih calon yang paling layak berdasarkan agama, amanah, integriti, keupayaan dan komitmen menegakkan keadilan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada umat ini para pemimpin yang bertakwa, adil dan beramanah serta menjadikan setiap undi yang diberikan sebagai amal soleh yang mendekatkan diri kepada-Nya dan menyumbang kepada pembinaan sebuah negara yang diberkati Allah.
USTAZ NUSHI MAHFODZ
– HARAKAHDAILY 30/7/2026




















