
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah telah melengkapkan semua dokumen sejarah, kajian dan asas perundangan berkaitan tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, segala persediaan berkaitan tuntutan itu telah disempurnakan pasukan penyelidik dan perundangan negeri selepas melalui kajian menyeluruh berhubung perkara itu.
Beliau berkata, isu berkaitan Pulau Pinang perlu dilihat berdasarkan rekod sejarah serta dokumen lama yang masih tersimpan sehingga hari ini.
Menurut beliau, hasil kajian tersebut turut dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum mendapat persetujuan sebagai asas kepada tuntutan berkenaan.
“Saya berpuas hati dengan apa yang telah disediakan oleh pasukan penyelidik dan pasukan perundangan kita. Bagaimanapun hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengemukakannya.
“Semua dokumen sudah siap, cuma kita sedang mempertimbangkan masa yang paling sesuai untuk mengemukakannya,” katanya dalam temu bual menerusi Podcast Tanpa Studio yang diterbitkan Kedah Online.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira keadaan semasa sebelum menyerahkan dokumen tersebut bagi memastikan proses tuntutan dapat berjalan dalam suasana yang lebih kondusif.
Menurutnya, beberapa saluran sedang dipertimbangkan termasuk tindakan melalui mahkamah, membawa perkara itu ke Majlis Raja-Raja serta mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita kena fikir sama ada masa sekarang sesuai ataupun kita tunggu sedikit lagi. Kalau dibuat sekarang, kita tahu akan ada pihak yang mempertahankan pendirian masing-masing.
“Kita mahu proses ini berlangsung dalam keadaan yang lebih neutral supaya segala penemuan dan hujah dapat dinilai secara adil,” katanya turut menolak tanggapan usaha kerajaan negeri itu bertujuan mendapatkan bayaran tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, tambah Sanusi lagi, tuntutan tersebut adalah bagi memastikan kadar bayaran pajakan disemak semula mengikut nilai semasa selepas tidak pernah dikaji sejak 1786.
“Ini bukan soal duit percuma. Kita hanya menuntut hak Kedah. Kalau hak itu diiktiraf, bayarlah mengikut kadar yang sepatutnya seperti yang dititahkan Sultan Kedah,” katanya.
Menurutnya, usaha tersebut juga memberi peluang kepada rakyat memahami semula sejarah hubungan Kedah dengan Pulau Pinang berdasarkan pelbagai dokumen lama yang berjaya ditemui pasukan penyelidik kerajaan negeri.
Katanya, dokumen sejarah berusia lebih 200 tahun itu menjadi bukti penting dalam memperkukuhkan asas tuntutan yang dikemukakan.
“Kita bukan sahaja mahu menuntut hak, tetapi pada masa sama mendidik rakyat mengenai sejarah negeri. Banyak dokumen lama yang masih wujud dan kini diketengahkan semula,” katanya lagi
Menurut beliau, isu pajakan Pulau Pinang merupakan perkara yang masih belum diselesaikan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, ketika proses menuju kemerdekaan, keutamaan diberikan kepada pembentukan negara terlebih dahulu sebelum isu pajakan itu dirundingkan semula.
Beliau turut menegaskan, perkara itu turut direkodkan dalam Hansard dan selepas merdeka, isu ini terus senyap.
“Saya rasa sejarah ini sangat penting kerana ia menjadi asas kepada tuntutan yang kita kemukakan hari ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, bayaran pajakan Pulau Pinang merupakan tanggungan Kerajaan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 167 Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu menyentuh kewajipan Persekutuan terhadap perjanjian atau triti yang mengikat negeri-negeri sebelum merdeka.
Katanya, kadar bayaran itu bermula pada RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta setahun ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, namun tidak pernah disemak semula sehingga kini.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah telah menitahkan Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang ketika Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-84 pada 5 Julai lalu di Istana Anak Bukit.
Baginda menegaskan, bayaran yang diterima Kedah ketika ini adalah berdasarkan perjanjian lama dan jauh lebih rendah berbanding nilai ekonomi sewajarnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026











