Ikrar pastikan TH kembali teratur bila PN ke Putrajaya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mengambil langkah susulan yang telus, termasuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak didapati bersalah, susulan pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS dalam ulasannya terhadap perkara itu telah menyuarakan rasa terkilan, namun mengakui tidak terkejut dengan pendedahan tersebut.

Katanya, ia memandangkan laporan Ketua Audit Negara saban tahun kerap merekodkan pelbagai kelemahan, ketirisan dan kerugian dana awam yang membabitkan agensi kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLIC).

“Apa yang kita saksikan ialah pengulangan kelemahan tadbir urus, pengabaian etika dan amanah, serta kegagalan mematuhi prinsip akauntabiliti, walaupun telah ditegur dan diperingatkan berulang kali,” katanya.

Menurut Syahir, laporan RCI TH terbaharu yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026 telah membongkar kewujudan elemen campur tangan politik dan kelemahan tadbir urus yang ketara dalam institusi tersebut.

Jelasnya, suruhanjaya berkenaan telah menyarankan agar audit forensik dijalankan terhadap 14 pelaburan bermasalah TH, selain mempersoalkan amalan ‘perakaunan kreatif’ bagi membolehkan pembayaran hibah yang tinggi antara tahun 2014 hingga 2017.

Laporan itu menegaskan amalan tersebut menjadi punca utama jurang aset dan liabiliti TH semakin melebar, di samping turut mengkritik kegagalan aspek pengawasan, kawal selia serta audit dalaman.

Lebih mendukacitakan, beliau mendedahkan terdapat empat laporan polis telah dibuat berserta enam kes dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku dan penyembunyian maklumat.

Juga katanya terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemalsuan, serta manipulasi laporan pelaburan TH, namun kesalinya sehingga kini, tiada satu pun kes tersebut berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.

Beliau turut mempersoalkan kelambatan dan ketiadaan tindakan pihak kerajaan memandangkan laporan berkenaan sebenarnya telah dikemukakan dan ditandatangani oleh Pengerusi RCI, Tun Raus Sharif kepada pihak kerajaan sejak 19 Julai 2022, iaitu lebih empat tahun lalu.

“Justeru rakyat berhak mengetahui apakah langkah susulan yang telah diambil oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani, termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bersalah,” tegasnya.

Menyentuh hala tuju masa depan institusi berkenaan, Syahir mengingatkan semua pihak agar menginsafi kembali tujuan asal penubuhan TH sebagai institusi simpanan umat Islam untuk menunaikan haji dengan mengambil segala langkah pembetulan.

Beliau menjelaskan tanggungjawab TH pada hari ini bertambah besar kerana ia menguruskan simpanan melebihi RM95 bilion daripada hampir 10 juta pendeposit, mencatatkan peningkatan drastik berbanding RM70 bilion pada tahun 2019.

“Cabarannya amat besar. Tabung Haji perlu menjana pulangan yang mampan, mengagihkan hibah, membantu bakal jemaah haji yang layak, dan pada masa yang sama membina semula rizab kewangannya.

“Melangkah ke hadapan, Tabung Haji perlu terus memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta mematuhi piawaian perakaunan secara profesional, bebas daripada campur tangan politik,” jelas beliau.

Bagi mengimbangi peningkatan kos ibadah haji pada masa hadapan, beliau mencadangkan TH merangka formula baharu yang komprehensif merangkumi kadar deposit, bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) agar kelangsungan kemampuan bakal jemaah tidak terjejas.

Dalam pada itu, pengurusan TH digesa memperkukuh Rizab Penyamaan Keuntungan (PER) sebagai penampan jangka panjang yang disokong pengurusan rizab berhemat demi kelestarian agihan hibah.

Beliau turut menegaskan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah wajib bersandarkan merit, kompetensi dan integriti dengan mematuhi sepenuhnya kriteria kelayakan dan kesesuaian (fit and proper) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Walaupun berkaitan amalan tadbir urus korporat dan piawaian perakaunan bukan perkara baharu di TH, beliau menekankan cabaran utamanya adalah memastikan ia dilaksana dan ‘dibudayakan’ secara konsisten.

Menyatakan pendirian politiknya, Syahir menegaskan bahawa kerajaan memikul tanggungjawab besar untuk melaksanakan segala syor RCI serta mengheret mana-mana pihak yang terlibat ke muka pengadilan.

Beliau yang mewakili rakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kini menantikan persidangan Parlimen dibuka bagi membahaskan pendedahan berharga itu.

“Adapun komitmen Perikatan Nasional amat jelas: menghormati setiap dapatan RCI dan bersedia mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan, demi memastikan Tabung Haji terus diurus secara profesional, teratur dan berintegriti.

“Akujanji saya sebagai pendeposit Tabung Haji, apabila Perikatan Nasional diberi mandat mentadbir Putrajaya, saya akan memastikan komitmen ini sentiasa diperingatkan dan dilaksanakan, insya-Allah,” tambahnya.

Syahir terdahulu mengimbas desakan penubuhan RCI itu bagi menyiasat urus tadbir Lembaga TH mula timbul dan mendapat momentum selepas peralihan kuasa kerajaan selepas kejatuhan Barisan Nasional pada tahun 2018.

Desakan ini katanya, didorong oleh pendedahan pelbagai dakwaan salah laku kewangan dan penemuan jurang defisit aset berbanding liabiliti yang dianggarkan mencecah sehingga RM11 bilion.

Sebelum itu menurutnya, pelbagai tanda amaran sebenarnya telah dibangkitkan mengenai tahap pematuhan TH terhadap Akta Tabung Haji 1995, khususnya berhubung pemberian perisytiharan hibah (dividen) yang tinggi kepada pendeposit.

“Krisis ini memuncak pada penghujung tahun 2015 apabila sepucuk surat teguran daripada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) kepada TH tular kepada umum.

“Surat tersebut mendedahkan kedudukan struktur kewangan institusi berkenaan yang meruncing, di mana TH dilaporkan hanya mempunyai nilai aset sebanyak 98 sen bagi setiap RM1 tanggungan (liabiliti).

“Berdasarkan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995, pemberian atau pengisytiharan hibah adalah menyalahi undang-undang sekiranya nilai aset institusi mencatatkan angka yang lebih rendah daripada jumlah liabilitinya,” imbasnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -