Kontrak sosial: Hak Melayu termaktub Perlembagaan

Diiktiraf dan diterima pemimpin pejuang kemerdekaan dahulu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi menegaskan, kontrak sosial mempunyai asas dalam sejarah pembentukan negara dan semangatnya jelas melalui peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak Melayu.

“Ini sejarah dan asas namanya kontrak sosial, mohon difahami oleh semua, jelas ada hak Melayu yang disuratkan dalam Perlembagaan negara,” tegasnya.

- Advertisement -

Mumtaz berkata demikian menerusi hantaran media sosialnya yang turut dilampirkan bersama pertanyaan dan jawapan bertulis Menteri Perpaduan di Dewan Rakyat.

Dalam pertanyaan berkenaan, Mumtaz meminta kerajaan mengesahkan secara rasmi sama ada dokumen yang disebut sebagai kontrak sosial semasa negara mencapai kemerdekaan benar-benar wujud dan pernah direkodkan dalam bentuk rasmi.

Beliau turut meminta penjelasan berhubung penilaian keberkesanan penjagaan kontrak sosial berkenaan dipantau kerajaan.

Konsensus sosial menjelang kemerdekaan

Berdasarkan jawapan Menteri Perpaduan Negara, kontrak sosial merujuk kepada satu bentuk konsensus sosial yang tidak bertulis antara komuniti utama Melayu, Cina dan India yang dicapai menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Jawapan itu menjelaskan, kontrak sosial adalah konsensus bersama yang menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan, apabila setiap kaum bersetuju menerima hak dan kedudukan masing-masing dalam kerangka negara yang baharu merdeka.

“Dalam semangat muafakat itu, komuniti bukan Melayu diberikan kewarganegaraan secara jus soli, manakala orang Melayu diberikan pengiktirafan terhadap hak istimewa dan kedudukan mereka sebagai kaum peribumi.

“Konsensus ini mencerminkan satu bentuk tolak ansur dan penghormatan terhadap kepelbagaian, demi menjamin kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk,” jawab menteri tersebut.

Menteri tersebut berkata demikian dalam jawapan bertulis bertajuk ‘Pemberitahuan pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas Tahun 2025’.

Semangat kontrak sosial dalam Perlembagaan

Jawapan itu turut menyatakan kontrak sosial tidak termaktub secara eksplisit dalam Perlembagaan Persekutuan, namun semangatnya terjelma melalui beberapa peruntukan termasuk Perkara 153.

Perkara 153 secara eksplisit melindungi hak istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan permit perniagaan.

Selain itu, Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi membenarkan penggunaan bahasa lain, manakala Perkara 3 menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dengan jaminan kebebasan beragama untuk bukan Islam.

Jawapan berkenaan turut menyatakan kewujudan kontrak sosial dapat dilihat melalui beberapa dokumen dan rekod sejarah termasuk Laporan Suruhanjaya Reid 1956-1957 yang menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Laporan itu menyatakan bahawa kedudukan orang Melayu akan dilindungi, manakala pendatang akan diberikan kewarganegaraan serta status sama rata.

Rekod pemimpin dan kerjasama parti Perikatan

Menurut jawapan itu, pernyataan pemimpin utama turut menjadi antara asas yang menunjukkan kewujudan semangat kontrak sosial.

Antaranya, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dipetik sebagai berkata dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 1965 bahawa dalam menerima kewarganegaraan, bukan-Melayu bersetuju dengan kedudukan istimewa orang Melayu.

Pemimpin MCA, Tun Tan Cheng Lock pula dalam memorandum pada 1954 mengakui hak istimewa Melayu sebagai perkara yang diperlukan untuk memastikan Tanah Melayu untuk orang Melayu.

Jawapan itu turut menyebut kerjasama parti Perikatan antara Umno, MCA dan MIC sebelum Pilihan Raya 1955 yang menunjukkan persetujuan bersama apabila MCA dan MIC menyokong hak istimewa Melayu, manakala Umno menyokong prinsip jus soli bagi kewarganegaraan bukan-Melayu.

Selain itu, surat Raja-raja Melayu kepada Ratu Elizabeth II pada 1957 turut menekankan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu perlu dilindungi sebagai syarat kemerdekaan.

Perbahasan dan pengiktirafan mahkamah

Jawapan itu menyatakan kontrak sosial telah menjadi perbahasan sejak sekian lama dengan sejarawan seperti Khoo Kay Kim menegaskan, kewujudannya sebagai satu ‘gentlemen’s agreement’, manakala pengkritik berpandangan ia tidak melibatkan mandat rakyat sepenuhnya.

Dalam perkembangan moden, Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenanjung Malaysia v. Lim Kit Siang (1986) mengiktiraf Perkara 153 sebagai sebahagian daripada ‘kontrak sosial’. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -