KWAN ditadbir demi capai keadilan intergenerasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Apabila kita bercakap mengenai Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), kita sebenarnya sedang membicarakan soal keadilan intergenerasi dan kemampanan fiskal jangka panjang negara,” tegas Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

- Advertisement -

Beliau menyifatkan langkah kerajaan memansuhkan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 339) dan menggantikannya dengan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sebagai reformasi institusi kewangan yang signifikan.

Menurutnya, pengajaran daripada pandemik COVID-19, apabila RM5 bilion daripada dana KWAN digunakan untuk perolehan vaksin pada tahun 2021, membuktikan keperluan rizab negara itu diuruskan berasaskan tadbir urus yang kukuh, berdisiplin dan berkanun.

“Sesungguhnya Islam mengajar kita supaya merancang untuk masa depan dengan penuh hikmah,” katanya sambil membawa maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 18 yang menyeru setiap insan memperhatikan persediaan untuk hari esok.

Jelas beliau, prinsip itu menjadi asas bahawa pengurusan kewangan negara tidak seharusnya bersifat jangka pendek, sebaliknya mestilah berteraskan kemampanan serta tanggungjawab terhadap generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 di Dewan Negara, semalam.

Sumbangan mandatori dan aliran dana

Wan Martina merujuk Fasal 4(1) RUU yang menetapkan Kerajaan Persekutuan wajib menyumbang setiap tahun sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada unjuran hasil tahunan Kerajaan Persekutuan.

Juga dua peratus daripada dividen Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), serta dua peratus daripada duti eksport sumber menyusut selepas penyerahhakan negeri.

Katanya, ketetapan itu suatu kemajuan ekonomi yang positif berbanding Akta 1988 yang bergantung pada sumbangan secara sukarela.

Namun, beliau mempersoalkan anggaran aliran masuk tahunan baharu ke dalam Kumpulan Wang Amanah Negara bagi tahun-tahun kewangan akan datang berdasarkan kadar minimum berkenaan.

Beliau turut bertanya sama ada nisbah minimum 0.1 peratus hasil dan dua peratus dividen PETRONAS itu cukup signifikan untuk membina semula saiz aset dana yang berada pada RM22.43 bilion setakat Disember 2024 dalam tempoh antara 10 hingga 20 tahun.

Merujuk Fasal 4(3), beliau turut meminta penjelasan mengenai ketegasan mekanisme pematuhan apabila pemindahan sumbangan perlu dibuat selewat-lewatnya pada akhir tahun kewangan, khususnya jika Kerajaan Persekutuan berdepan tekanan defisit fiskal.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan jadual peningkatan berperingkat bagi kadar sumbangan mandatori, selari dengan pemulihan atau pertumbuhan hasil fiskal negara pada masa hadapan.

Had pengeluaran dan keadaan kecemasan

Menyentuh Fasal 24 dan 25, Dr Martina berkata pengeluaran daripada dana itu dihadkan bagi tujuan pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.

Fasal 25(1) menurut beliau pula, menetapkan had pengeluaran tahunan maksimum sebanyak 50 peratus daripada kadar pulangan benar jangka panjang yang dijangkakan.

Beliau berkata pendekatan itu menerapkan prinsip antarabangsa, termasuk seperti Norwegian Government Pension Fund Global, bagi memelihara modal teras dana.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan mengenai definisi dan kaedah pengiraan kadar pulangan sebenar, termasuk pihak yang bertanggungjawab menentukan serta mengesahkan penanda aras kadar pulangan benar jangka panjang di bawah Fasal 25(5).

“Adakah ia ditentukan oleh lembaga, Bank Negara Malaysia atau penilaian bebas juruaudit?” soalnya.

Beliau juga membangkitkan Fasal 25(2) yang membenarkan pengeluaran melebihi had 50 peratus sekiranya Menteri mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat melalui usul.

Katanya, perlu ada ambang krisis atau takrif keadaan terdesak yang khusus supaya pengecualian itu tidak menjadi ‘pintu belakang’ kepada pengeluaran atas dorongan politik jangka pendek.

Beliau mencadangkan agar klausa kriteria kecemasan nasional yang lebih ketat dimasukkan dalam peraturan di bawah Fasal 33, misalnya untuk digunakan hanya ketika bencana nasional atau kemerosotan ekonomi yang sangat teruk.

Kebebasan lembaga dan ketelusan

Wan Martina turut menyentuh Fasal 11, 12 dan 28 berkaitan penubuhan Lembaga Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan), peranan menteri serta Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pengurus dana utama dalam tempoh peralihan.

Beliau berkata, semua anggota lembaga dilantik oleh menteri, manakala menteri juga berkuasa meluluskan perumpukan aset strategik, membatalkan pelantikan anggota dan memberi arahan kepada lembaga.

“Walaupun kuasa itu dibuat atas kapasiti Menteri Kewangan, persepsi terhadap kebebasan institusi perlu diberi perhatian,” jelasnya.

Beliau merujuk negara yang mempunyai dana kekayaan negara bertaraf dunia seperti Norway, New Zealand dan Australia, yang mempunyai pemisahan jelas antara kerajaan sebagai pembuat dasar dan pengurus profesional dalam membuat keputusan pelaburan.

Beliau mencadangkan majoriti ahli lembaga pada masa hadapan terdiri daripada profesional bebas yang mempunyai kepakaran pelaburan, ekonomi, kewangan dan tadbir urus korporat, serta bebas daripada pengaruh politik.

Martina turut meminta penjelasan sejauh mana autonomi lembaga dalam membuat keputusan pelaburan harian di bawah Fasal 27, memandangkan Fasal 12(1)(c) menghendaki perumpukan aset strategik dirangka oleh lembaga untuk kelulusan menteri.

Beliau juga bertanya mengenai tempoh sasaran kerajaan untuk memindahkan pengurusan dana daripada BNM kepada kapasiti dalaman Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sepenuhnya.

Menyentuh Fasal 35, beliau berkata kewajipan kerahsiaan dengan penalti denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun perlu diseimbangkan dengan prinsip Santiago Principles bagi dana kekayaan berdaulat.

Beliau mahu kerajaan menjelaskan sama ada laporan tahunan, penyata kewangan diaudit di bawah Akta 240 dan Fasal 32, serta perincian perumpukan aset strategik akan dibentangkan di Parlimen dan dibuka kepada orang ramai.

Dr Wan Martina menyokong RUU itu sambil mengingatkan maksud Surah an-Nisaa’ ayat 58 bahawa amanah perlu diserahkan kepada ahlinya dan hukum hendaklah dilaksanakan secara adil.

Beliau berharap lembaga yang bakal dilantik melaksanakan amanah menguruskan harta negara dengan profesionalisme, integriti, akauntabiliti, ketelusan dan keadilan demi menjamin rizab kewangan berkekalan untuk generasi Malaysia kini serta masa hadapan. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -