Kos sara hidup: Rakyat N9 diseru guna peti undi

Protes terhadap kelemahan dan kegagalan Kerajaan PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Negeri Sembilan diseru menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai manifestasi suara rakyat terhadap kelemahan dan kegagalan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam menangani isu kos sara hidup.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna dan Kepenggunaan PAS Pusat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, rakyat kini berdepan tekanan ekonomi yang semakin mencengkam apabila harga barangan keperluan terus meningkat, sekali gus membebankan kehidupan harian.

Menurut beliau, kenaikan kos bahan api turut memberi kesan rantaian terhadap kos pengangkutan dan harga barangan, manakala kuasa beli rakyat semakin merosot.

“Hari ini rakyat berdepan tekanan ekonomi yang semakin berat. Harga barangan keperluan terus meningkat, kos bahan api memberi kesan rantaian kepada kos pengangkutan dan harga barang, manakala kuasa beli rakyat semakin merosot.

“Keadaan ini dapat dilihat sendiri di pasar-pasar malam. Jika dahulu kawasan jualan dipenuhi pembeli, kini semakin banyak peniaga berbanding pelanggan,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Tumpat itu lagi, ramai peniaga mengeluh jualan semakin perlahan, sementara pengguna pula terpaksa mengurangkan perbelanjaan kerana pendapatan tidak lagi mampu menampung kos kehidupan.

Beliau berkata, fenomena tersebut amat membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan peniaga kecil dan penjaja, malah mencerminkan kelemahan ekonomi yang sedang dirasai rakyat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan manfaat pertumbuhan ekonomi yang sering digambarkan kerajaan masih belum benar-benar dirasai oleh majoriti rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk menyampaikan mesej yang jelas melalui peti undi pada PRN kali ini.

“Jadikan PRN Negeri Sembilan sebagai manifestasi protes demokratik terhadap kegagalan kerajaan mengawal kos sara hidup, memulihkan kuasa beli rakyat dan memastikan kesejahteraan ekonomi dinikmati oleh semua, bukan sekadar angka-angka yang kelihatan baik di atas kertas.

“Undilah demi perubahan, demi ekonomi yang lebih adil dan demi masa depan rakyat yang lebih sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -