
KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berhubung isu pemakaian di pusat pengundian sebagai tidak sensitif, serta tidak menghormati nilai masyarakat Johor dan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, walaupun benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menetapkan kod pakaian khusus kepada pengundi, menggunakan hujah tersebut untuk menghalalkan apa sahaja bentuk pemakaian merupakan pendekatan sempit dan tidak mencerminkan semangat kenegaraan.
Menurutnya, Malaysia bukan sekadar ditadbir berasaskan undang-undang, sebaliknya dibina di atas asas Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, budaya ketimuran serta nilai kesopanan yang menjadi identiti rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Prinsip kelima Rukun Negara ialah Kesopanan dan Kesusilaan. Ia bukan sekadar lafaz dalam majlis rasmi, tetapi prinsip yang sepatutnya menjadi panduan kepada setiap warganegara, lebih-lebih lagi seorang Timbalan Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Firdaus berkata, hak mengundi sememangnya dijamin dalam sistem demokrasi negara, namun setiap hak turut datang bersama tanggungjawab.
Beliau berkata, tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada seseorang untuk mengabaikan adab, kesopanan dan sensitiviti masyarakat ketika berada di tempat awam.
Katanya, pusat pengundian merupakan institusi demokrasi yang perlu dihormati dan bukannya pentas untuk mencabar norma masyarakat, mencetuskan provokasi atau menguji sejauh mana undang-undang boleh dimanipulasi.
“Seorang pemimpin sepatutnya mengajak rakyat mengamalkan nilai yang lebih baik, bukannya sekadar berhujah bahawa tiada larangan. Tidak semua perkara yang tidak dilarang oleh undang-undang wajar dilakukan.
“Itulah bezanya antara mematuhi undang-undang dan memiliki akhlak serta integriti,” katanya turut mengingatkan mengenai Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Iaitu jaminan kebebasan tertentu kepada rakyat bukanlah hak yang mutlak kerana semua kebebasan tertakluk kepada undang-undang, ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat.
Menurutnya, kenyataan Teo bukan sahaja tidak membantu meredakan polemik, malah boleh memberi isyarat yang salah kepada masyarakat bahawa soal adab dan kesopanan tidak lagi penting selagi tiada larangan bertulis.
“Pemikiran seperti ini amat membimbangkan kerana ia menghakis nilai yang selama ini menjadi asas keharmonian negara.
“Malaysia memerlukan pemimpin yang mengangkat budaya hormat, adab dan kesusilaan, bukannya pemimpin yang mencari ruang untuk mempertikaikan nilai tersebut atas alasan teknikal undang-undang.
“Demokrasi yang matang bukan sekadar mempertahankan hak mengundi, tetapi turut memelihara maruah, adab dan nilai masyarakat. Itulah semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang wajib dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2026











