Warga emas uzur berjaya tunaikan tanggungjawab undi

Hasil bantuan Ambulans YAMCS dan SPR

- Advertisement -

MUAR: Berkat pujukan, keprihatinan dan semangat kesukarelawanan pasukan Ambulans Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (YAMCS), seorang warga emas uzur akhirnya berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian.

- Advertisement -

Pengundi wanita hanya mahu dikenali sebagai Siti Fatimah itu pada mulanya enggan keluar mengundi kerana berasa malu selepas kehilangan kedua-dua belah kaki akibat komplikasi penyakit diabetes dialaminya.

Keadaan fizikalnya menyebabkan beliau hilang keyakinan untuk hadir ke pusat mengundi, namun Ketua Ambulans YAMCS, Mohamad Yusof Moksin, dengan penuh kesabaran berjaya memujuk beliau supaya tidak mensia-siakan hak sebagai rakyat Malaysia.

Yusof kemudian mendukung Fatimah keluar dari biliknya sebelum membaringkannya di atas pengusung untuk dibawa ke ambulans, walaupun ketika hendak dibawa masuk ke dalam ambulans, beliau sekali lagi berasa takut dan bimbang akan terjatuh.

Dengan penuh kasih sayang, Mohamad Yusof menenangkan beliau sambil berkata, “Mak cik macam emak saya. Jangan risau, kami akan jaga mak cik.”

Kata-kata tersebut menyentuh hati Siti Fatimah sehingga beliau mengalirkan air mata kerana terharu dengan layanan mesra serta keprihatinan yang ditunjukkan oleh pasukan Ambulans YAMCS.

Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah Ketua Amal Doktor YAMCS, Mohd Azree Harun, yang bersama-sama pasukan memastikan urusan membawa pengundi tersebut ke pusat pengundian berjalan dengan selamat.

Bagi memastikan proses pengundian dapat dilaksanakan dengan lancar, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa peti undi ke ambulans mengikut prosedur yang ditetapkan.

Siti Fatimah akhirnya berjaya membuang undi dari dalam ambulans dengan selamat dan teratur, membuktikan walaupun ada kekangan fizikal, golongan sepertinya dapat terus menunaikan hak demokrasi mereka dengan penuh bermaruah.

Peristiwa itu itu kerjasama erat antara pasukan Ambulans Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (YAMCS) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu warga emas, golongan uzur serta orang kurang upaya.

Inisiatif khidmat ambulans percuma yang disediakan oleh YAMCS pada hari pengundian turut mencerminkan komitmen pertubuhan itu dalam membantu anggota masyarakat.

Khususnya golongan yang memerlukan, agar tidak tercicir daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi. – HARAKAHDAILY 11/7/2026

- Advertisement -