
REMBAU: Senyuman, sapaan mesra dan jabat tangan menjadi bahasa badan dan interaksi calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Kam.
Disertai bersama barisan pimpinan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang memeriahkan kempennya, kehadirann Kamarol sentiasa menarik perhatian sesiapa sahaja ditemui mereka.
Malah, ramai yang tidak melepaskan peluang bersalaman, bergambar serta berkongsi pelbagai pandangan mengenai isu setempat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduk (Parit Buntar) serta Ustaz Muhammad Fawwaz Md Jan (Permatang Pauh).
Juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor dan Ketua Cawangan Umno Taman Pinggiran Senawang, Rahman Yaakub serta mantan Ahli Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Beliau berkata, pendekatan turun padang membolehkan pemimpin memahami sendiri realiti kehidupan masyarakat tanpa bergantung kepada laporan semata-mata.
“Saya terharu melihat sokongan padu daripada semua. Lebih bermakna apabila saf pimpinan turut sudi turun padang bersama saya,” katanya menyusuri deretan gerai di Pasar Malam Pinggiran Senawang, di sini baru-baru ini.
Suasana pasar malam yang dipenuhi pengunjung dimanfaatkan Kamarol untuk singgah di setiap gerai, bertanya khabar peniaga, mendengar perkembangan perniagaan mereka serta berbual dengan orang ramai mengenai pelbagai isu.
Menurut Kamarol, kehadiran pemimpin daripada pelbagai latar belakang membuktikan bahawa semangat kebersamaan mampu menjadi asas dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta memajukan kawasan.
“Apabila semua turun bersama, saya dapat rasakan satu perkara. Perbezaan mungkin ada, tetapi apabila hati disatukan dengan niat untuk berkhidmat kepada rakyat, banyak perkara boleh kita lakukan bersama.
“Inilah semangat kebersamaan yang saya harap dapat terus kita bawa demi mengimarahkan dan membangunkan DUN Paroi. Terima kasih atas doa, sokongan dan kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata, kempen lapangan bukan sekadar medan meraih sokongan, sebaliknya menjadi ruang untuk mendengar sendiri suara rakyat agar setiap isu yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Tambahnya, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau komited untuk terus mengamalkan pendekatan turun padang serta mengutamakan pembangunan yang seimbang merangkumi aspek kebajikan, kemudahan awam, peluang ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyifatkan Kamarol sebagai pemimpin yang telah membuktikan rekod perkhidmatan cemerlang sepanjang menyandang amanah sebagai wakil rakyat Paroi.
“Hari ini saya turun bersama Kamarol Ridzuan, calon nombor tiga PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Paroi. Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai wakil rakyat Paroi sebelum ini. Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan pada penggal yang seterusnya, insya-Allah,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos dengan keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon-calon PERIKATAN NASIONAL. – HARAKAHDAILY 28/7/2026














