
Dr Sathia Prakash Nadarajan
Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor
No. 43, Jalan Gapimas 1, Laman Gapimas,
48200 Serendah, Selangor.
Tuan,
Per: Pernyataan fitnah terhadap Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Muhammad Sanusi
Kami merujuk kepada perkara di atas di mana kami mewakili dan bertindak bagi pihak YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi [‘anak guam kami’].
2. Kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan seperti berikut:
2.1 Bahawa kamu telah, pada atau sekitar 24 Julai 2026, membuat suatu kenyataan media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan kemudiannya memuat naik rakaman kenyataan tersebut melalui akaun media sosial TikTok milik kamu iaitu Dr Sathia Prakash Nadarajan, seperti berikut:
Transkrip kenyataan video: “Dato’ Seri Sanusi, Menteri Besar Kedah. Cina duk di China, India duk di India. Kita buat laporan ini sebenarnya adalah kerana isu 3R. Semalam di Jempol, beliau berucap di Jempol dan menyatakan isu-isu yang bagi saya, saya rasa sangat sensitif. Beliau kata kalau India, baliklah India. Cina, baliklah China. Tanah Melayu, seumpanya tanah orang Malaysia ini, tanah orang Melayu. Sekarang soalnya saya kepada beliau, 70 tahun sebelum ini memang di bawah kuasa Barisan Nasional dan sekarang mereka pun bergabung dengan Barisan Nasional. Kenapakah sebelum ini bila ada MIC, MCA ternyata sebagai tidak diwujudkan, tiada pun? Dan satu lagi isu yang sangat sensitif saya rasa beliau panggil barua-barua Melayu. Saya rasa benda-benda macam ini sebenarnya 3R. Dan ini bukan kali pertama mereka buat. Saya rasa saya minta, saya menyeru semua kawan-kawan di seluruh Malaysia buat laporan supaya tindakan diambil, masalah sebegini memang dah jadi satu isu yang besar yang mengapi-apikan semua agama di Malaysia dan kaum di Malaysia. Terutamanya India dan Melayu dan Cina. Sebenarnya kita tak ada isu. Mereka mengapi-apikan anak-anak muda yang kurang faham jadi marah. Dan keadaan ini tak terjaga langsung. Padahal saya dengar, bawa telefon saya, saya dengar lagi beliau dalam ucapan beliau bila ada golongan beliau bercakap ada golongan orang Cina, beliau kenyataan beliau berubah. Saya dengar lagi, saya ada kongsi pun. Beliau, ini ucapan beliau. Jadi, dia kata bapak dia Cina. Atuk dia ke siapa dia Cina lah. Jadi isu dia, apa yang beliau nak sampaikan, apa mesej yang beliau nak sampaikan berubah mengikut keadaan. Berikut keadaan politik beliau. Ini satu tindakan yang kita wajib ambil. Dan saya menyeru, saya tahu, saya memang tak suka mengganggu pegawai kaki tangan polis. Saya tak nak mengganggu ketenteraman, saya tak nak buat satu ini untuk dapatkan, apa orang kata, mileage politik. Tidak. Saya nak, apa yang saya nak ini untuk betul-betul ambil tindakan yang tegas. Kerana setiap kali ada pilihan raya, setiap kali ada satu isu yang mereka nak benefit, mereka terus mainkan isu 3R. Saya menyeru pihak berkuasa untuk ambil tindakan yang tegas ke atas mereka kerana cara mereka ucap mасаm mereka nak isukan kontroversi dan bermanfaat untuk dapat isu 3R ini. Itulah pandangan saya.”
(Selepas ini kandungan di perenggan 2.1 diatas dirujuk secara sebagai ‘Pernyataan Fitnah’)
2.2 Berdasarkan kepada hantaran yang dimuat di naik oleh kamu sebagaimana Perenggan 2.1 tersebut, video tiktok tersebut telah menerima penglibatan awam seperti berikut:
a) Tontotan (Views): 261,700
b) Reaksi (Like/Love): 5,439
c) Komen: 1,970
d) Perkongsian (Share/Save): 682
e) Pengikut (Followers): 17,900
3. Berdasarkan kenyataan tersebut, kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa Pernyataan Fitnah tersebut telah disiarkan dan/atau didedahkan dan/atau diedarkan kepada masyarakat awam yang mana kamu dengan niat jahat supaya Pernyataan Fitnah tersebut menjadi tontonan umum dan untuk menyampaikan berita yang tidak sahih dan tidak benar berkaitan anak guam kami.
4. Akaun Tiktok tersebut merupakan akaun media sosial milik kamu mempunyai kira-kira 17,900 pengikut (followers).
Rujukan kepada anak guam kami
5. Video Tiktok tersebut adalah secara jelas merujuk kepada anak guam kami. Video yang kamu muat naik tersebut merupakan suatu rujukan langsung kepada anak guam kami .
6. Dalam video Tiktok tersebut, kamu secara nyata:
a) menyebut nama anak guam kami;
b) merujuk kepada jawatan anak guam kami sebagai Menteri Besar Kedah; dan
c) memарarkan rakaman video cuplikan ucapan anak guam kami sebagai sebahagian daripada kandungan video TikTok tersebut.
7. Kami telah diarahkan oleh anak guam kami bahawa Pernyataan Fitnah tersebut adalah satu pembohongan, penipuan dan penyelewengan fakta yang direka-reka oleh kamu.
Video tersebut telah dimuatnaik di TikTok dan adalah berbentuk fitnah dan disertai dengan niat jаhat
8. Adalah kami diarahkan bahawa Pernyataan Fitnah tersebut telah dimuat naik oleh kamu melalui akaun TikTok milik kamu sendiri berprofil Dr Sathia Prakash Nadarajan.
9. Ianya telah diakses oleh orang awam dan dibaca oleh semua masyarakat yang melihat dan mendengar video Tiktok tersebut. Sehingga kini, Pernyataan Fitnah tersebut boleh diakses melalui pautan link di bawah:
10. Kami juga telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menegaskan bahawa berdasarkan kepada Pernyataan Fitnah tersebut, melalui makna lazim dan/atau kebiasaan dan/atau secara innuendo, telah memberikan maksud tersurat dan/atau secara implikasi dalam bentuk dakwaan sepertimana berikut:
10.1 Anak guam kami telah menyeru supaya masyarakat India pulang ke India dan masyarakat Cina pulang ke China.
10.2 Anak guam kami ingin menghalau masyarakat India dan masyarakat Cina keluar daripada Malaysia.
10.3 Anak guam kami merupakan seorang ahli politik yang selalu memainkan sentimen perkauman dan isu 3R.
10.4 Anak guam kami secara berterusan menggunakan isu 3R setiap kali pilihan raya bagi meraih sokongan politik beliau.
10.5 Anak guam kami menggunakan isu kaum dan agama demi kepentingan politik beliau.
10.6 Anak guam kami sengaja membangkitkan kebencian antara kaum di Malaysia.
10.7 Anak guam kami mengamalkan politik kebencian dan politik perkauman demi kepentingan politik beliau.
10.8 Anak guam kami sentiasa mengubah pendirian dan kenyataan beliau mengikut keadaan politik semasa demi kepentingan politik beliau.
10.9 Anak guam kami merupakan seorang ahli politik yang tidak jujur serta sanggup memanipulasi sentimen perkauman dan agama demi kepentingan politik beliau.
10.10 Anak guam kami kerap melakukan kesalahan berkaitan isu 3R sehingga wajar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
10.11 Anak guam kami tidak layak memegang jawatan awam sebagai Menteri Besar Kedah kerana mengamalkan politik yang memecahbelahkan masyarakat.
10.12 Anak guam kami tidak mempunyai integriti, kewibawaan dan kredibiliti sebagai seorang pemimpin politik.
11. Berdasarkan kepada pengataan-pengataan di atas, kamu telah secara jelas memfitnah anak guam kami dan telah merendah-rendahkan maruah anak guam kami di mata masyarakat yang mana telah menjejaskan reputasi anak guam kami sama ada dalam kapasiti peribadi ataupun kapasiti profesional.
12. Kami diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa anak guam kami tidak pernah menyebut perkataan bahawa masyarakat India ‘baliklah India’ ataupun masyarakat Cina ‘baliklah China’ sebagaimana yang didakwa oleh kamu.
13. Sebaliknya, ucapan sebenar anak guam kami hanyalah menjelaskan bahawa masyarakat Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala bangsa-bangsa lain masing-masing mempunyai negara asal mereka, iaitu:
‘Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada Cina, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.’’
14. Kenyataan tersebut langsung tidak membawa maksud bahawa masyarakat India atau masyarakat Cina hendaklah meninggalkan Malaysia sebagaimana yang didakwa oleh kamu.
15. Kami juga diarahkan bahawa tindakan kamu secara sengaja memetik cuplikan ucapan anak guam kami secara tidak tepat, menambah perkataan ‘baliklah India’ dan ‘baliklah China’ dan menyunting sebahagian rakaman video ucapan anak guam kami jelas menunjukkan bahawa Pernyataan Fitnah tersebut dibuat dengan niat jahat.
16. Kami diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa tindakan kamu menaikkan Kenyataan Fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan/atau motif yang tidak wajar dan tidak lebih dari sekadar satu tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi anak guam kami di mata masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik kamu.
Tuntutan anak guam kami
17. Oleh itu, kami telah diarahkan oleh anak guam kami yang mana kami dengan ini menuntut daripada kamu sebagaimana berikut:
a) Bahawa kamu dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini, mengeluarkan satu akujanji bertulis kepada kami bahawa kamu akan menurunkan, menarik balik dan memadamkan keseluruhan video TikTok tersebut serta memastikan ia tidak diterbitkan semula dalam apa-apa bentuk sekalipun.
b) Bahawa kamu dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini mengeluarkan satu permohonan maaf di akaun Tiktok kamu yang mana pernyataan maaf tersebut seperti di Lampiran Kenyataan Permohonan Maaf berkaitan Pernyataan Fitnah, dan satu salinan kepada firma guaman kami untuk tujuan penerbitan segera di lokasi yang mudah dilihat dan dengan cara yang ketara melalui sebuah akhbar tempatan, laman sesawang dan dalam mana-mana platform media sosial yang dipersetujui oleh anak guam kami.
c) Bahawa kamu dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini mencadangkan satu jumlah ganti rugi yang munasabah kepada anak guam kami yang mana jumlah yang dipersetujui tersebut perlu dibayar serta-merta setelah pihak-pihak mencapai persetujuan berkenaan dengan jumlah kuantum ganti rugi.
18. Ambil maklum bahawa sekiranya kamu gagal untuk mematuhi tuntutan-tuntutan di atas, kami mempunyai arahan tegas anak guam kami untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya yang dianggap perlu tanpa membuat apa-apa rujukan kepada kamu termasuklah untuk memulakan tindakan undang-undang dan/atau mendapatkan perintah injuksi yang diperlukan terhadap kamu yang mana kamu akan bertanggungjawab terhadap apa-apa kos dan perbelanjaan bagi tujuan tersebut.
Yang benar,
MESSRS. FAIZI & ASSOCIATES
MOHD FAIZI CHE ABU – HARAKAHDAILY 28/7/2026











