
REMBAU: Program NgocaSawah yang menghimpunkan kepimpinan Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Pemuda Barisan Nasional (BN) telah mencuri perhatian pada acara di di Kampung Semerbok, di sini kelmarin.
Keriangan penuh harmoni antara mereka jelas memperlihatkan usaha memperkukuh hubungan serta persefahaman antara kedua-dua sayap komponen itu mengukuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Program anjuran calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Ani itu menyaksikan pimpinan Pemuda PN dan Pemuda BN turun padang bersama lebih 500 penduduk dalam suasana santai dengan bergelumang di bendang sebagai simbol kebersamaan serta penyatuan.
Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti bersama masyarakat, sebaliknya membawa mesej jelas mengenai kesediaan kedua-dua pihak membina persefahaman demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Menurutnya, pengalaman bersama Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh serta barisan kepimpinan EXCO Pemuda PN dan Umno di bendang memberikan makna besar dalam usaha membina hubungan jangka panjang antara kedua-dua sayap pemuda.
“Kami bergelumang di bendang, tetapi akhirnya kami sedar… kami makan beras yang sama. Atas nama penyatuan, persefahaman dan hubungan jangka panjang, kami memilih untuk mengetepikan perbezaan demi masa depan yang lebih baik buat anak muda dan negara,” katanya.
Beliau berkata, penyatuan berkenaan merupakan hasrat telah lama diimpikan oleh ramai pihak bagi menggabungkan kekuatan politik ke arah mewujudkan kestabilan serta masa depan negara yang lebih baik.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, usaha tersebut diterjemahkan menerusi tekad bersama untuk menawan semula Negeri Sembilan pada PRN kali ini.
“Ini adalah penyatuan yang sekian lama diimpikan oleh ramai orang Melayu, menyatukan kekuatan politik demi kestabilan dan masa depan Malaysia, bermula dengan tekad untuk menawan kembali Negeri Sembilan, insya-Allah,” katanya.
Afnan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Pemuda BN yang menerima kehadiran rombongan Pemuda PN dengan baik, khususnya di bawah pimpinan Datuk Dr Akmal Saleh.
Menurutnya, sambutan lebih 500 penduduk yang hadir membuktikan masyarakat menerima baik usaha memperkukuh kesepaduan dalam kalangan anak muda menerusi pendekatan turun padang.
Beliau berkata, NgocaSawah bukan titik akhir kepada kerjasama yang dibina, sebaliknya menjadi permulaan kepada lebih banyak program bersama melibatkan Pemuda PN dan Pemuda BN sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan.
“Ini bukan penamat. Ini adalah langkah pertama. Insya-Allah akan menyusul program yang lebih besar sebelum pengakhiran tempoh kempen bagi memperkukuh kesepaduan antara Pemuda PERIKATAN NASIONAL dan Pemuda Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berharap kerjasama yang dizahirkan menerusi program berkenaan dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan rakyat pada hari pengundian, sekali gus memperkukuh usaha membawa perubahan serta agenda pembangunan negeri untuk kesejahteraan masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/7/2026











