Lebih 200kg sampah di dasar laut Pulau Redang

Berjaya dibersihkan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Lebih 200 kilogram sampah dan pukat hanyut berjaya dikeluarkan dari dasar laut di Taman Laut Pulau Redang menerusi Program Reef Care yang melibatkan penyertaan 58 penyelam daripada pelbagai agensi kerajaan serta kelab penyelaman.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, program itu turut berjaya mengeluarkan 112 ekor tapak sulaiman pemakan karang atau Crown-of-Thorns Starfish (COTS) dari kawasan terumbu karang.

- Advertisement -

“Spesies ini merupakan pemakan karang. Oleh sebab itu, ia perlu dikeluarkan dan dilupuskan secara terkawal bagi menyelamatkan ekosistem marin,” katanya.

Program berkenaan disertai pelbagai agensi termasuk Pasukan Gerakan Marin (PGM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Jabatan Perikanan Kelantan, Jabatan Pertanian Perak, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, program tersebut turut mendapat sokongan Persatuan Penyelam Malaysia, Persatuan Penyelam Terengganu dan Black Eye Scuba dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Azman berkata, usaha pembersihan dasar laut dan pemuliharaan terumbu karang itu mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan khazanah laut negeri terus terpelihara.

“Penglibatan agensi kerajaan, pertubuhan dan sukarelawan dalam program seperti ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar marin.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini demi memastikan keindahan serta biodiversiti laut Terengganu dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -