MB Amirudin anggap kesatuan Melayu-Islam helah politik

- Advertisement -

SHAH ALAM: Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ternyata tidak sensitif terhadap keresahan rakyat apabila mendakwa usaha Penyatuan Ummah antara PAS dan Umno sebagai helah politik.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Dr Ustaz Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, sedangkan pendekatan itu lahir daripada tuntutan masyarakat, khususnya orang Melayu dan Islam.

- Advertisement -

Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan kenyataan Menteri Besar itu sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan kerana cuba menggambarkan usaha Penyatuan Ummah sebagai agenda politik semata-mata.

“Jelas membuktikan Menteri Besar tidak sensitif dengan kegusaran dan keresahan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam yang selama ini kecewa dengan politik PH dan DAP dalam isu melibatkan kedaulatan Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Amirudin itu juga bercanggah dengan realiti di peringkat akar umbi apabila majoriti masyarakat Melayu dan Islam menyambut baik perkembangan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan.

Katanya, persefahaman terjalin antara kedua-dua gabungan itu diterima secara positif oleh rakyat yang melihatnya sebagai usaha memperkukuhkan perpaduan politik Melayu dan Islam.

“Pada hakikatnya, majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam sangat gembira dan amat teruja dengan persefahaman PN dan BN di Negeri Sembilan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Aubidullah turut menyelar tindakan Menteri Besar Selangor membandingkan pembangunan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan bandar raya antarabangsa seperti Tokyo, Dubai dan Doha.

Beliau berkata, perbandingan itu tidak mencerminkan kefahaman yang menyeluruh terhadap sejarah, latar belakang dan struktur ekonomi setiap negeri yang mempunyai cabaran pembangunan berbeza.

“Tindakan membandingkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan Tokyo, Dubai dan Doha jelas menunjukkan betapa rendahnya tahap pemikiran beliau untuk mencerap dan memahami konteks, latar sejarah dan struktur ekonomi negeri-negeri yang kompleks di Malaysia.

“Amat sedih sekali, ia diungkapkan oleh Menteri Besar Selangor, negeri bertuah yang menjadi nadi utama kepada ekonomi negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan kerajaan diterajui PKR dan PH masih mengamalkan politik yang tidak adil terhadap negeri-negeri pembangkang.

Beliau berkata, antara perkara yang menjadi perhatian ialah Kerajaan Persekutuan masih belum memberikan hak mutlak royalti kepada Terengganu, selain tidak menyalurkan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang serta belum melaksanakan beberapa agenda reformasi dan janji pilihan raya pernah dikemukakan.

“Dewan Pemuda PAS Selangor ingin menegaskan bahawa penyatuan ummah bukanlah ancaman kepada negara, ia hanya akan menjadi ancaman yang sangat dahsyat kepada PH,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya optimis kerjasama yang dibina melalui pendekatan Penyatuan Ummah mampu memberikan kemenangan kepada PN dan BN bukan sahaja dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, malah berpotensi membuka laluan untuk memenangi Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -