
KUALA TERENGGANU: Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal di Kepulauan Melayu, khususnya di Tanah Melayu, perlu dihormati serta tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim.
Beliau berkata, kewujudan pelbagai kaum dan bangsa di dunia adalah ketentuan Allah SWT yang bertujuan untuk membolehkan manusia saling mengenali antara satu sama lain, manakala kemuliaan seseorang di sisi-Nya ditentukan oleh tahap ketakwaan.
Menurutnya, setiap bangsa mempunyai wilayah asal masing-masing seperti bangsa India di India, bangsa Cina di China dan bangsa Arab di negara-negara Arab, manakala orang Melayu berasal dari Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago.
“Sejarah turut mencatatkan berlakunya penghijrahan besar-besaran ke pelbagai negara atas faktor ekonomi, penjajahan dan kehidupan, termasuk ke Tanah Melayu semasa era penjajahan British.
“Kini ada orang Arab duduk di Francis, orang Inggeris duduk di Australia walau Australia bukan bumi asal mereka, orang Amerika duduk di Amerika walau sebenarnya penduduk asal Amerika ialah Red Indian dan banyak lagi penghijrahan yang berlaku.
“Malay Archipelago tak terkecuali dari menerima penghijrahan besar-besaran ini samada dari India atau tanah besar China khususnya di zaman penjajahan British di Tanah Melayu.
“Semua yang berhijrah atau pendatang ini diterima dengan baik untuk hidup bersama penduduk asal peribumi. Inilah realiti yang ada di Malaysia. Orang Melayu ialah bangsa yang sangat bertoleransi dan bersopan-santun.
“Tetapi ia tak akan melenyapkan fakta bahawa orang Melayu ialah penduduk asal Malay Archipelago khususnya di Tanah Melayu,” katanya dalam satu ulasan menerusi media sosial miliknya.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, hak-hak istimewa orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara perlu dihormati tanpa sebarang pertikaian.
“Sebagai penduduk asal, tentunya ada hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam undang-undang untuk orang Melayu tanpa perlu dipertikaikan oleh sesiapa.
“Masyarakat bukan-Islam boleh hidup aman damai dalam sebuah negara majoriti ummat Islam seperti Malaysia dengan pelbagai keistimewaan. Inilah ajaran agama Islam yang membentuk toleransi beragama.
“Sebab itulah bangsa lain jangan bimbang bila orang Melayu bercakap soal bangsa kerana ia disekalikan dengan agama. Kami akan buat apa yang diperintahkan oleh Allah dalam Islam,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya sikap bertolak ansur yang ditunjukkan oleh orang Melayu tidak disalah tafsir atau dicabar sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya telah merantau ke beberapa negara melihat pola hidup pelbagai bangsa. Orang Melayu antara bangsa yang terbaik dari segi tolak ansur dan toleransi kaum. Tapi jangan dicabar kelembutan ini. Garis merah jangan dilanggar,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026











