
KUALA TERENGGANU: Memiliki kad pengenalan Malaysia tidak seharusnya menjadi ukuran mutlak kecintaan kepada negara jika Bahasa Kebangsaan sendiri tidak dimartabatkan ketika memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi menyifatkan penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu dalam kenyataan rasmi seorang Menteri sebagai sesuatu yang bertentangan dengan semangat memartabatkan identiti negara.
“Semalam angkat IC, katanya inilah tanah air yang dicintai. Hari ini, walaupun Menteri, tapi kenyataan rasmi pula langsung tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan. Rakyat tidak meminta semua bahasa dihapuskan.
“Malaysia memang negara berbilang kaum dan bahasa. Tetapi apabila bercakap sebagai seorang Menteri kepada seluruh rakyat, Bahasa Melayu bukan sekadar pilihan, ia lambang kedaulatan negara dan bahasa yang menyatukan kita.
“Kalau yang memegang jawatan tinggi pun tidak memuliakan Bahasa Kebangsaan dalam kenyataan awam, bagaimana mahu mengharapkan generasi akan datang menghormatinya?” kata Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, sekiranya pemimpin sendiri gagal menunjukkan teladan, usaha memupuk rasa hormat terhadap Bahasa Kebangsaan dalam kalangan generasi muda akan menjadi semakin sukar.
“Mencintai Malaysia bukan sekadar menunjukkan sekeping IC. Mencintai Malaysia ialah menghormati Perlembagaan, memartabatkan Bahasa Kebangsaan, dan meletakkan identiti negara di tempat yang sewajarnya.
“IC boleh membuktikan taraf kewarganegaraan. Tetapi bahasa yang kita pilih untuk memimpin rakyat mencerminkan jiwa kita terhadap negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026











