
KUALA LUMPUR: Hutang sebenar kerajaan meningkat apabila dilihat daripada sudut jumlah terkumpul, walaupun hutang baharu kerajaan dikatakan berkurangan, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin.
“Kalau kita buat kenyataan kepada kecerdasan buatan (AI) mengenai hutang kerajaan, antara respons yang akan kita peroleh adalah, Perdana Menteri menjelaskan yang hutang baru kerajaan berkurangan walaupun jumlah terkumpul bertambah.
“(Dato’ Seri) Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, antara lain, menyalahkan keadaan itu kepada bayaran faedah yang ‘sangat besar’ bagi hutang-hutang lama,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian dipercayai susulan dakwaan Anwar seperti dilaporkan media tempatan bahawa nisbah hutang yang perlu ditanggung kerajaan ketika ini semakin berkurangan, selain pendirian kerajaan untuk tidak menambah lagi hutang negara.
Abdul Kadir menghuraikan, bagi golongan kurang memahami ekonomi, kewangan dan perangkaan, kenyataan yang berbeza-beza mengenai hutang kerajaan boleh menimbulkan kekeliruan.
Namun, beliau berpandangan, realiti ekonomi dan perangkaan boleh dilihat daripada pelbagai sudut untuk memberikan gambaran tertentu yang tidak semestinya tepat dan benar.
“Ia boleh dilihat daripada banyak sudut untuk memberikan gambaran yang dikehendaki yang tidak semestinya tepat dan benar. Lebih kurang macam kita melihat melalui jendela.
“Lihat dari dalam ke luar, kita akan dapat satu pemandangan. Pandang dari luar ke dalam, lain pula perspektifnya. Lagi-lagilah kalau jendela itu berlangsir atau diperbuat daripada kaca pelbagai warna,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, salah satu kaedah mengukur hutang ialah dengan membandingkannya dengan saiz ekonomi negara menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Abdul Kadir menyatakan, hutang kerajaan mula meningkat pada 2020 susulan pandemik COVID-19 apabila ia naik kepada 62.1 peratus KDNK atau meningkat 9.6 peratus berbanding tahun 2019.
Beliau mengulas, pada 2021, nisbah hutang meningkat lagi kepada 63.3 peratus sebelum menurun kepada 60.2 peratus pada 2022.
“Dalam tempoh pemerintahan Kerajaan ‘Perpaduan’ Madani, dari penghujung 2022 hingga sekarang, nisbahnya naik kepada 64.3 peratus KDNK pada tahun 2023, 64.6 peratus 2024 dan 65.2 peratus 2025. Bagi suku pertama tahun ini, nisbahnya turun kepada 63.1 peratus,” katanya.
Abdul Kadir turut mendedahkan, daripada sudut jumlah keseluruhan pula, portal rasmi Kementerian Kewangan menunjukkan hutang Kerajaan Pusat meningkat dengan banyak dalam tempoh satu dekad lalu sehingga mencapai RM1.32 trilion pada akhir tahun lalu.
Menurut beliau, pinjaman tahunan kerajaan yang memuncak kepada lebih RM200 bilion ketika pandemik mula berkurangan, manakala di bawah program konsolidasi kewangan, pinjaman kasar turun kepada kira-kira RM184 bilion tahun lalu.
“Pinjaman tahun ini dianggarkan antara RM74.6 bilion hingga RM77.2 bilion,” ujarnya.
Menurut beliau, perkara yang fundamental dan konsisten ialah hutang rasmi, tidak kira diambil oleh kerajaan atau Perdana Menteri mana sekali pun, tetap perlu ditanggung rakyat jelata dan pembayar cukai.
“Tahun lalu, kos pengurusan hutang dianggarkan RM54.4 bilion atau kira-kira 16.3 peratus daripada hasil kerajaan. Anggaran tahun ini meningkat kepada RM58.3 bilion,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026











