PH gagal urus krisis, rakyat N9 perlu lakukan perubahan

- Advertisement -

SEREMBAN: Rakyat Negeri Sembilan diseru mengundi calon-calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini bagi menyelamatkan negeri itu daripada krisis pentadbiran yang berpanjangan.

Pada masa sama, pengundi diseru membuat perubahan penting pada PRN kali ini bagi memastikan pembangunan ekonomi dan masa depan negeri terus diperkukuh, seru Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof.

- Advertisement -

Beliau berkata, rakyat perlu membuat perubahan kerana Kerajaan Pakatan Harapan gagal menangani pelbagai kemelut pentadbiran sehingga mencetuskan krisis berpanjangan yang akhirnya membawa kepada pembubaran DUN atas cadangan Menteri Besar sendiri.

Katanya, rakyat Negeri Sembilan juga perlu menilai prestasi kerajaan PH sepanjang mentadbir negeri itu.

“Rakyat perlu memahami pilihan raya diadakan bukan kerana penggal pentadbiran telah berakhir, sebaliknya berpunca daripada kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah yang berlaku dalam pentadbiran.

“Jika PH diberi mandat sekali lagi, krisis yang berlaku dikhuatiri tidak akan dapat diselesaikan. Justeru, perubahan kepimpinan amat diperlukan bagi menjamin kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.

Tambah Siti Zailah, perubahan ini memerlukan sokongan padu rakyat untuk menyelamatkan Negeri Sembilan daripada krisis yang berpanjangan serta memastikan pembangunan ekonomi dan masa depan negeri dapat diperkukuhkan.

Beliau turut menyeru rakyat Negeri Sembilan yang disifatkannya sebagai matang, bijak berpolitik dan menghormati institusi istana supaya membuat pilihan dapat menjamin kestabilan pemerintahan serta memelihara adat dan budaya negeri.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat bangkit melakukan perubahan dengan menolak PH pada PRN Negeri Sembilan dan memilih kepimpinan yang diyakini mampu mentadbir negeri dengan lebih baik.

Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama politik antara PN dan BN menjadi titik perubahan ke arah pembentukan sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil serta mampu membawa Negeri Sembilan ke arah masa depan yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -