Jangan rasa kekok, undi calon PN-BN – Ustaz Nik Abduh

- Advertisement -

SEREMBAN: Pengundi khususnya penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) disaran membuang segala kejanggalan untuk mengundi calon yang dianggap seteru sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama itu bukan sekadar strategi pilihan raya, sebaliknya sebahagian daripada usaha lebih besar untuk memperkukuh penyatuan ummah demi mengembalikan kestabilan politik negara.

- Advertisement -

“Dalam kerjasama politik yang dibentuk PH-BN kini demi menjamin kestabilan pentadbiran negeri dan negara pada masa depan, sewajarnya dibuang rasa ‘kekok’ yang bersarang dijiwa,” ujar Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu.

Menurutnya, perjalanan ke arah persefahaman itu telah melalui proses yang panjang sejak era Muafakat Nasional (MN), sebelum diteruskan dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN) ketika pandemik Covid-19.

“Ramai kata penyatuan ini sukar dilakukan, namun dengan keikhlasan dan kesedaran daripada semua peringkat, akhirnya kita dapat bertemu semula dalam satu persefahaman.

“Negeri Sembilan menjadi langkah pertama dalam perjalanan baharu ini, diikuti Melaka dan akhirnya menuju matlamat yang lebih besar untuk memastikan Malaysia diperintah dengan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi wawancara menerusi Podcast Bughak Paroi yang bertajuk ‘Hala Tuju PAS-PN Masa Kini’ dengan moderatornya Muhammad Firqan Hussin, di sini kelmarin.

Nik Abduh yang juga Ahli Dewan Negara berkata, pengalaman politik sejak beberapa tahun lalu membuktikan ahli sesebuah parti sudah mampu menerima arahan untuk menyokong calon daripada parti lain atas dasar maslahat lebih besar.

Katanya, perkara itu bermula ketika kerjasama Muafakat Nasional pada tahun 2020 dan diteruskan dalam beberapa pilihan raya termasuk di Johor apabila ahli PAS diminta mengundi calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.

“Suasana politik dahulu sangat keras sehingga berlaku pelbagai konflik, namun kematangan politik hari ini membawa rakyat kepada kefahaman bahawa kita boleh mengundi parti lain demi kepentingan yang diputuskan oleh parti.

“Proses mengubah cara berfikir ini mengambil masa yang panjang dan kini kejanggalan itu perlu dipecahkan demi mencapai matlamat yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, persefahaman yang diwujudkan di Negeri Sembilan walaupun bukan berbentuk gabungan parti, memerlukan komitmen daripada kedua-dua pihak untuk saling memberikan sokongan.

“Sama ada ahli PAS, penyokong PAS, ahli Umno atau penyokong Umno, tidak perlu lagi berasa kekok untuk mengundi calon yang dipersetujui.

“Kita perlu buang sifat ekstrem, taksub dan asabiah kepada parti, sebaliknya mengambil sikap sederhana, terbuka dan positif supaya lebih mudah menerima keputusan yang dibuat oleh pimpinan,” katanya.

Nik Abduh turut mengingatkan, matlamat utama kerjasama itu ialah memastikan kesejahteraan rakyat, kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan dan seterusnya Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Paroi supaya memberikan sokongan kepada calon PN, Kamarol Ridzuan Md Zin.

“Jangan sangsi, jangan syak dan jangan keliru. PERIKATAN NASIONAL sedang membawa satu cadangan terbaik melalui kerjasama bersama BN.

“Kita sedang mengangkat perjuangan yang nyata iaitu penyatuan ummah. Undilah calon PN-BN demi memastikan kestabilan Negeri Sembilan dan masa depan Malaysia yang lebih baik, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -