
Soalan:
Apakah hukum pakai cincin pada jari tengah?
Jawaban:
Bermula hukum memakai cincin pada jari tengah yang disebut juga dengan jari hantu itu ialah makruh.
Telah diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. beliau telah berkata:
نَهَانِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ، قَالَ : فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا
Ertinya: “Telah melarang akan daku oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dari aku pakai akan cincin pada kedua jari ini dan ini. Kata beliau: Beliau menunjukkan kepada jari tengah dan jari yang selepasnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Dan pada riwayat Imam An-Nasaie:
نَهَانِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ، وَفِي الْوُسْطَى أَوِ الَّتِي تَلِيهَا
Ertinya: “Telah melarang akan daku oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dari memakai pada jariku ini dan iaitu pada jari yang tengah atau jari yang mengiringnya yakni jari telunjuk.” (Kitab Sunan Al-Kubra)
Dan pada riwayat Abu ‘Uwanah:
نَهَانِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي هَذِهِ، وَهَذِهِ، وَأَشَارَ إِلَى السَّبَّابَةِ، وَالْوُسْطَى
Ertinya: “Telah melarang akan daku oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam dari aku memakai cincin pada jari ini dan ini. Dan beliau menunjuk kepada jari telunjuk dan jari tengah.”
Maka hadis-hadis ini menjadi dalil dilarang ke atas kaum lelaki memakai cincin pada jari tengah dan jari telunjuk dan larangannya ialah larangan makruh bukan larangan haram.
Berkata Imam Nawawi:
وَيُكْرَهُ لِلرَّجُلِ جَعْلُهُ فِي الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا لِهَذَا الْحَدِيثِ وَهِيَ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ
Ertinya: “Dan dimakruhkan bagi lelaki meletakkan cincin pada jari tengah dan jari yang selepasnya iaitu telunjuk kerana hadis ini dan iaitu makruh tanzih.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 28/7/2026











