
SEREMBAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Lobak, PM Kumar, memilih pendekatan kempen dari rumah ke rumah bagi menemui pengundi serta mendengar sendiri pandangan, harapan dan permasalahan mereka.
Disertai Jentera PN, beliau dan rombongan mengunjungi itu kawasan-kawasan perumahan sekitar DUN Lobak menemui penduduk di kediaman dan beramah mesra, serta mengedarkan bahan penerangan mengenai parti dan manifesto.
Kehadiran Kumar ternyata disambut baik oleh penduduk yang meluangkan masa berbual dan berkongsi pelbagai isu berkaitan kehidupan seharian.
Pendekatan bersemuka itu turut memberi peluang kepada beliau bertemu warga emas, suri rumah dan penduduk yang tidak berkesempatan menghadiri program atau ceramah politik.

Menurut PM Kumar, pendekatan rumah ke rumah dipilih kerana beliau percaya hubungan secara langsung lebih berkesan dalam membina kepercayaan serta memahami keperluan rakyat.
“Media sosial penting. Ceramah pun penting. Namun, tiada yang dapat menggantikan pertemuan dan perbualan secara bersemuka,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, setiap kunjungan membuka ruang untuk memahami realiti kehidupan masyarakat yang berdepan cabaran berbeza.
“Sepanjang turun bertemu warga Lobak, saya berjumpa pelbagai lapisan masyarakat. Ada warga emas yang tidak lagi mampu keluar seperti dahulu. Ada ibu yang sibuk menguruskan anak-anak kecil di rumah.
“Sebab itulah saya memilih untuk datang kepada mereka. Bukan sekadar untuk memperkenalkan diri sebagai calon, tetapi untuk mendengar sendiri pandangan, harapan dan keluh kesah mereka,” katanya.
Menurutnya, maklum balas diterima secara langsung daripada penduduk memberi gambaran lebih jelas mengenai isu setempat dihadapi dan akan dijadikan panduan dalam memperjuangkan kebajikan serta kepentingan rakyat sekiranya diberi mandat.
Sepanjang lawatan itu, PM Kumar turut bertanya khabar penghuni rumah dan menyerahkan risalah penerangan sebagai sebahagian daripada usaha menyampaikan maklumat mengenai tawaran PN kepada pengundi. – HARAKAHDAILY 28/7/2026













