
JEMPOL: Kerjasama antara PN dan BN perlu diterjemahkan melalui gerak kerja bersepadu sehingga membawa kemenangan kepada calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting pada hari pengundian, 1 Ogos ini.
Mantan Ahli Parlimen Jempol, Dato’ Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, persefahaman terjalin antara kedua-dua gabungan itu perlu diperkukuhkan dengan mengetepikan perbezaan demi membentuk sebuah kerajaan yang lebih kukuh.
“Kita mahu bersama sama membentuk kerajaan dan kolaborasi ini berbentuk persefahaman yang cukup baik. Kita dahulu lama bersengketa, tetapi hari ini kita bina titik persefahaman.
“Dulu orang PAS dan orang Umno jarang bertemu, tetapi hari ini kita bersama sama. Silaturahim ini perlu kita perkukuhkan dan diterjemahkan pada 1 Ogos nanti supaya calon kita, Ustaz Fairuz Isa, menang dengan bergaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PN-BN Parlimen Jempol di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Serting, di sini baru-baru ini.
Mohd Salim berkata, berdasarkan perkiraan matematik politik, gabungan undi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu menghasilkan kemenangan sekiranya semua penyokong keluar mengundi.
“Kalau ikut matematik, BN campur PN memang menang. Tetapi kalau tidak datang mengundi, kita tidak akan menang. Jangan kita rasa selesa. Semua pengundi mesti keluar mengundi dan bekerja bersungguh sungguh untuk memastikan kemenangan,” tegasnya.
Beliau turut mengakui proses penyesuaian antara kedua dua parti memerlukan sedikit masa kerana kerjasama tersebut masih baharu.
“Kita baru bersama, sebulan pun belum. Baharu beberapa minggu, malah baru beberapa hari. Sudah tentu ada sedikit rungutan dan perkara yang perlu disesuaikan.
“Itu semua boleh dibincangkan kemudian. Yang penting sekarang ialah kita ketepikan perbezaan dan fokus kepada kemenangan calon,” ujarnya.
Beliau turut menggesa seluruh jentera Umno, khususnya di peringkat cawangan dan bilik gerakan, supaya bekerjasama rapat dengan jentera PN bagi memastikan setiap pengundi keluar mengundi pada hari pengundian.
“Saya mohon kepada wanita, bilik gerakan Umno dan Barisan Nasional supaya terus mengeluarkan pengundi kita. Gerak kerja mesti dilakukan secara bersepadu agar jumlah undi yang diperoleh mencukupi untuk memenangkan calon kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera supaya tidak memandang rendah kekuatan pihak lawan walaupun yakin terhadap kerjasama yang terjalin.
“Jangan kita pandang rendah pesaing. Sebaliknya kita perlu terus bekerja dan mengumpulkan undi sebanyak mungkin bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon nombor satu,” katanya.
Mengulas kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turun berkempen di Negeri Sembilan, beliau berkata perkara itu menunjukkan pihak lawan turut memberi perhatian serius terhadap pertandingan di negeri berkenaan.
“Ini menunjukkan saingan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Sebab itu semua pihak perlu terus bekerja sehingga hari pengundian,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026











