Komposisi rakyat N9 petunjuk perubahan sentimen politik?

Menuju PRU16

- Advertisement -

SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 disifatkan sebagai medan penting menguji strategi politik setiap parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16, dengan tumpuan bukan lagi sekadar kepada kekuatan parti, sebaliknya keupayaan menawarkan penyelesaian kepada isu rakyat.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kesenian, Budaya dan Sukan (DACS), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik kerana komposisi pengundinya yang pelbagai menjadikan negeri itu sebagai petunjuk penting terhadap perubahan sentimen politik rakyat.

- Advertisement -

“Negeri Sembilan bukan sekadar medan pilihan raya, malah menjadi barometer kepada hala tuju politik negara menjelang PRU16,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan ketika menyampaikan ceramah pada Program Ceramah Isu Isu Semasa di Taman Jasmin, Senawang, malam kelmarin.

Turut menyampaikan ceramah ialah calon PERIKATAN NASIONAL DUN Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamed dan Jawatankuasa Pemuda Umno DUN Paroi, Ammar Haziq.

Firdaus berkata, landskap politik masa kini memerlukan pendekatan lebih strategik dengan memberi penekanan kepada penggunaan data, penyusunan jentera berkesan, pemilihan calon diyakini serta keupayaan memahami kehendak pengundi.

“Parti politik juga perlu memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, perumahan dan tadbir urus yang baik,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan sebarang bentuk kerjasama politik antara PAS dan Umno perlu berasaskan matlamat bersama serta disokong kesepakatan di peringkat kepimpinan dan akar umbi.

“Kerjasama yang berkesan bukan sekadar mengelakkan pertandingan sesama sendiri, tetapi perlu diterjemahkan melalui penyelarasan strategi, kekuatan jentera dan penerimaan rakyat,” katanya.

Menurutnya, kerusi marginal dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan PRN Negeri Sembilan, justeru setiap parti perlu menyusun strategi lebih tersasar bagi menghadapi persaingan.

Tambahnya, golongan muda menjadi antara faktor utama yang bakal mencorakkan keputusan pilihan raya kali ini.

“Mereka mahu melihat penyelesaian kepada isu kehidupan harian seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masa depan ekonomi. Sebab itu setiap parti perlu tampil dengan dasar yang jelas dan meyakinkan,” ujarnya.

Beliau berkata, kemenangan dalam pilihan raya tidak hanya bergantung kepada kekuatan parti semata mata, sebaliknya ditentukan oleh keupayaan merancang, menyusun dan melaksanakan strategi secara berkesan.

“Pilihan raya bukan peperangan emosi, tetapi peperangan strategi. Parti yang paling bersedia, paling tersusun dan paling memahami kehendak rakyat mempunyai peluang yang lebih baik untuk memperoleh mandat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026

- Advertisement -