
KUALA TERENGGANU: Insiden kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam baru-baru ini perlu dijadikan titik perubahan dalam usaha memperkukuh tahap keselamatan di kediaman bertingkat tinggi.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kejadian itu bukan sahaja menyentuh perasaan masyarakat, malah mengingatkan semua pihak bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan dalam persekitaran pembangunan moden.
Beliau berkata, lawatan ke lokasi kejadian dilakukan bagi mendapatkan maklumat secara langsung daripada pengurusan bangunan serta wakil penduduk mengenai tragedi yang berlaku.
“Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang pastinya masih terkejut serta bersedih dengan kejadian ini.
“Saya difahamkan mereka baru tiba di Kuala Terengganu dan menginap di sebuah homestay di pangsapuri ini dan mangsa merupakan seorang kanak-kanak autisme.
“Kita boleh menyalahkan ibu bapa sebab saya difahamkan ketika kejadian itu ia berlaku sekelip mata. Saya sendiri mempunyai anak autism juga dan saya faham bahawa bukan mudah untuk kita jaga anak-anak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pangsapuri Ladang Tok Pelam bersama wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta badan pengurusan bangunan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.
Menurut Ahmad Amzad, hasil perbincangan bersama pengurusan mendapati terdapat beberapa aspek keselamatan yang boleh dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Katanya, walaupun tingkap di lokasi kejadian bukan daripada jenis yang rendah, beberapa langkah penambahbaikan seperti pemasangan jeriji keselamatan dan ciri perlindungan tambahan wajar dipertimbangkan.
“Tiada siapa yang menginginkan tragedi seperti ini berlaku. Namun, apabila pembangunan bangunan tinggi semakin bertambah, kita perlu melihat semula langkah-langkah keselamatan yang sesuai dilaksanakan.
“Berdasarkan rekod, beberapa kejadian seumpama ini pernah berlaku di kawasan pangsapuri lain termasuk membabitkan kanak-kanak dan pengunjung luar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu kempen kesedaran keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak di kawasan perumahan bertingkat dilaksanakan secara lebih meluas.
Katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, usaha berkenaan boleh dilakukan menerusi edaran risalah, poster dan mesej kesedaran awam bagi mengingatkan penghuni mengenai langkah keselamatan perlu diberi perhatian.
“Ini bukan soal menyalahkan ibu bapa kerana ada perkara yang berlaku di luar jangkaan. Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pengurusan bangunan, penduduk dan masyarakat untuk meningkatkan tahap keselamatan komuniti,” katanya.
Pada 25 Julai lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Nur Muazzah Aisyah Mubi, 7, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Ladang Tok Pelam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kenderaan tingkat enam bangunan berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. – HARAKAHDAILY 28/7/2026











