
PORT DICKSON: Gerak kerja kempen calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN N.31 Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria mendapat sokongan daripada jentera pelbagai negeri yang turun membantu, selain kerjasama baik Barisan Nasional (BN) menerusi semangat permuafakatan.
Pemangku Ketua Pemuda PAS Port Dickson, Muhamad Al-Hafiz Mohamed Nordin, 40, menjelaskan gerakan kempen PN di DUN Bagan Pinang sebenarnya sudah bermula sejak sebulan lalu dengan bantuan jentera dari beberapa negeri.
“Alhamdulillah, saya lihat cara kempen dan pergerakan berjalan dengan lancar. Tidak ada masalah yang ketara atau provokasi daripada pengundi.
“Tambahan pula kita sekarang dalam ‘mood‘ Muafakat Nasional dan permuafakatan. Saya lihat semua pasukan kempen yang datang sangat bersemangat, berdedikasi.
“Dan bekerja dengan komitmen tinggi,” ujar beliau ketika ditemui HarakahDaily di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bagan Pinang, di sini baru-baru ini.
Berdasarkan tinjauan HarakahDaily, turut kelihatan jentera daripada Terengganu, Perlis dan DUN Rasah, Negeri Sembilan yang membantu memperkukuhkan gerak kerja kempen di DUN Bagan Pinang.
Muhamad Al-Hafiz berkongsi, komitmen jentera yang membantu dapat dilihat apabila ada petugas sanggup menjalankan aktiviti sehingga awal pagi sebelum kembali bergerak pada keesokan harinya.
Katanya, kerjasama antara jentera PAS-PN dan BN turut menunjukkan perkembangan positif apabila petugas BN memberikan sokongan selepas sesi perbincangan dan penerangan dilakukan.
“Pada awalnya kita dalam keadaan permuafakatan, kita faham jentera BN sudah membuka bilik operasi dan unit daerah mengundi (UDM) masing-masing.
“Jadi kita menyantuni mereka untuk memberi penerangan dan mengajak bersama. Alhamdulillah, sambutannya sangat baik,” jelasnya.
Beliau menghuraikan, terdapat petugas BN yang datang bertemu selepas sesi ceramah umum dan menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dalam gerak kerja kempen.
“Siap minta bendera untuk dipacak bersama. Program yang kita mahu buat pun mereka turut bersama. Jadi kami sangat terharu dan teruja dengan sambutan itu.
“Jadi orang dah bagi kita terima. Orang memberi kita menerima dan kami di sini telapak tangan kami tadahkan insya-Allah,” imbasnya.
Mengulas pendekatan memperkenalkan calon kepada pengundi, Muhamad Al-Hafiz berpandangan, Ustaz Abdul Fatah bukan calon baharu kerana sudah lama berkhidmat dan menyantuni masyarakat di Port Dickson.
Beliau menegaskan, isu berkaitan calon luar tidak timbul kerana Ustaz Abdul Fatah sudah lebih 30 tahun menetap di Port Dickson serta mengundi di kawasan berkenaan.
“Ustaz Fatah ini sudah lama berada di sini. Beliau bukan calon yang muncul ketika pilihan raya sahaja, sebaliknya sudah lama menjalankan kerja bersama rakyat.
“Sebagai bekas anggota tentera dan anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), beliau juga dikenali dalam kalangan anggota tentera serta kakitangan kerajaan,” ujarnya.
Muhamad Al-Hafiz menambah, Ustaz Abdul Fatah juga sentiasa turun membantu rakyat walaupun berdepan kekangan tertentu.
“Setakat yang beliau mampu, beliau akan bantu rakyat. Kita terangkan perkara itu kepada pengundi dan alhamdulillah maklum balas yang diterima sangat baik.
“Pengundi juga menyebut apabila dipanggil, Ustaz Fatah akan hadir. Di masjid, kenduri atau majlis masyarakat, beliau sentiasa turun,” tambahnya.
Beliau menyatakan, penerimaan pengundi terhadap kerjasama PN dan BN juga menunjukkan perkembangan positif apabila rakyat melihat permuafakatan itu sebagai sesuatu yang dinantikan.
“Bila kita turun bersama, termasuk bersama pimpinan BN, ramai yang datang menyambut. Mereka kata inilah yang mereka mahu. Penyatuan ummah itu berjalan dan berlaku,” ulasnya.
Mengulas isu yang dibangkitkan pengundi, Muhamad Al-Hafiz memaklumkan antara perkara yang sering mendapat perhatian ialah isu pantai, tanah dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, terdapat juga aduan berkaitan gangguan bekalan air yang berlaku apabila Sungai Linggi tercemar, namun ia biasanya mengambil masa sehari atau dua hari untuk diselesaikan.
Pasukan medik
Sementara itu, ahli pasukan medik Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Muhd Aziz (bukan nama sebenar), 36, memberitahu, pasukan berkenaan menjalankan lawatan ke rumah pesakit bagi bertanya khabar serta mengetahui keadaan mereka.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan gerakan kempen pasukan medik yang berjalan secara tersusun dengan memberi tumpuan kepada pesakit terlantar dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

“Kita melawat rumah pesakit sama ada yang terlantar ataupun sakit kronik untuk bertanya khabar keadaan mereka,” jelasnya.
Muhd Aziz memaklumkan, ketika lawatan itu, pihaknya turut mendapatkan maklum balas berkaitan masalah setempat dan keperluan pengundi.
Beliau memberitahu, pengundi memberikan respon positif terhadap calon yang turun padang, hadir ke majlis masyarakat dan sentiasa bersama rakyat.
“Apa yang kami lawat semuanya memberi respon yang sangat positif terhadap calon kita,” ujarnya.
Mengulas masalah kesihatan yang dibangkitkan penduduk, Muhd Aziz mendedahkan, terdapat seorang pesakit yang menghadapi kekangan mendapatkan rawatan dialisis.
Katanya, pesakit berkenaan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, namun terpaksa mendapatkan rawatan di pusat swasta yang menelan kos.
Saranan kepada pengundi
Sementara itu, Muhamad Al-Hafiz menegaskan PRN kali ini penting kerana rakyat memerlukan pemimpin yang memahami isu dan keadaan di Negeri Sembilan.
Beliau menyeru pengundi di DUN Bagan Pinang memilih calon PN, manakala pengundi di kawasan lain memilih calon BN bagi usaha mengambil alih pentadbiran negeri.
“Setiap undi sangat penting. Kita mahu menjaga Negeri Sembilan dan menyelesaikan isu yang timbul melalui meja rundingan,” harapnya.
Muhd Aziz pula mengingatkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi amat berharga.
“Kita mahu calon yang menjaga rakyat dan mementingkan bangsa serta agama. Sebab itu jangan ambil sambil lewa dan undilah calon Ustaz Abdul Fatah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2026




















