
REMBAU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain memulakan hari pengundian awal dengan mengunjungi Balai Polis Senawang, di sini hari ini.
Kesempatan itu juga bagi beliau merakamkan penghargaan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas memastikan keselamatan serta kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Kehadiran beliau disambut mesra anggota polis bertugas sebelum meluangkan masa bersalaman dan bertukar pandangan mengenai suasana pengundian yang berlangsung aman, teratur serta terkawal.
Menurut Kamarol, kunjungan itu juga sebagai tanda penghormatan kepada warga PDRM yang sentiasa mengorbankan masa dan tenaga demi menjamin keamanan negara, khususnya sepanjang tempoh pilihan raya.
“Pagi ini saya mulakan langkah dengan singgah di Balai Polis Senawang untuk merakamkan penghargaan kepada warga PDRM atas jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan serta keselamatan masyarakat.
“Semoga setiap langkah yang diatur menjadi medan untuk mengukuhkan silaturahim dan terus berkhidmat demi rakyat Paroi,” katanya.
Selesai lawatan ke balai polis, beliau meneruskan tinjauan ke pusat pengundian bagi melihat sendiri perjalanan proses pengundian selain menyantuni petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan urusan pilihan raya.
Dalam pertemuan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas SPR yang disifatkannya memainkan peranan penting dalam memastikan proses pengundian berlangsung secara lancar, telus dan teratur.
Katanya, kejayaan sesebuah pilihan raya bukan hanya bergantung kepada pengundi, sebaliknya hasil kerjasama semua pihak termasuk anggota keselamatan, petugas pilihan raya dan sukarelawan yang melaksanakan amanah masing-masing.
“Hari ini Paroi menjadi saksi… amanah bukan sekadar dipakai di bahu, tetapi dibuktikan dengan satu undi,” ujarnya.
Beliau berkata, setiap undi yang diberikan bukan sekadar menentukan wakil rakyat, malah mencerminkan tanggungjawab rakyat dalam membentuk masa depan kawasan dan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi DUN Paroi agar menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh rasa amanah serta memilih wakil rakyat yang diyakini mampu membawa aspirasi dan kepentingan masyarakat.
Menurutnya, setiap undi bukan sahaja menentukan kepimpinan yang bakal dipilih, malah menjadi cerminan harapan rakyat terhadap sebuah pentadbiran yang berintegriti, prihatin dan komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi memberi laluan kepada PRN.
Proses pengundian awal yang berlangsung hari ini melibatkan seramai 16,884 anggota tentera dan pasangan, selain 5,455 anggota polis yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Hari pengundian bagi pengundi biasa pula dijadual berlangsung pada 1 Ogos, melibatkan seramai 867,151 pengundi di seluruh Negeri Sembilan.
Sebanyak 395 pusat pengundian akan dibuka bermula jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang melibatkan sekolah, balai raya, kolej, kompleks sukan dan dewan orang ramai sebagai lokasi pengundian. – HARAKAHDAILY 28/7/2026




















