‘Cukuplah RTM, ‘ceplos’ kerja sebar ucapan Sanusi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dituduh menghina dan mengusir orang Cina serta India pulang ke negara asal; tidak memberi manfaat kepada PH, sebaliknya memberi impak positif kepada PN.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pakatan Harapan (PH) mungkin menyangka ucapan berkenaan menjadi satu kelebihan yang boleh digunakan secara besar-besaran untuk menarik sokongan pengundi.

“Tapi mereka silap. Semakin luas ucapan yang disebarkan, semakin meriah ataupun semakin besar isu ini digembar-gemburkan, semakin memberikan impak positif kepada PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya dalam satu video di TikTok.

Beliau menegaskan, perkara itu menyebabkan isu berkenaan tidak lagi dimainkan oleh PH sejak sehari dua kebelakangan ini kerana menyedari ia tidak membawa manfaat kepada mereka.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyentuh mengenai video di TikTok yang dimuat naik menteri daripada DAP, khususnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), berkaitan tindakan mengangkat MyKad sebagai tanda sudah beberapa generasi menetap di negara ini.

Menurut beliau, kandungan berkenaan hanya berhenti setakat itu dan tidak dijadikan video untuk menjawab persoalan berkaitan ucapan Pengarah Pilihan Raya PN tersebut.

“Jadi ia merupakan ‘senjata kapur, peluru kapur’, bahkan kita minta supaya ucapan itu diulang-ulang, sentiasa diulang-ulang. Pakatan Harapan nak ulang, silalah ulang kerana ia menjadi kita tak perlu bekerja banyak.

HarakahDaily tak perlu nak siarkan banyak pun, tak perlu membazirkan tenaga, sumber daripada wartawan-wartawan kita. Cukuplah RTM dan juga ‘ceplos-ceplos’ ini bekerja untuk kita dalam menyebarkan ucapan YAB Dato’ Seri Sanusi,” sindirnya.

‘Screenshot’ direka-reka

Sementara itu, Ahmad Fadhli menjelaskan, usaha menyebarkan tangkap layar kononnya laporan media yang mengaitkan Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan arahan supaya pengundi tidak memilih PN menunjukkan PH semakin terdesak.

“Jika kita nak melihat betapa terdesaknya Pakatan Harapan pada hari ini ialah apabila terkeluarnya usaha-usaha saraf seperti ini.

“Keluar ‘caption’, ‘screenshot’ kononnya berita Utusan Malaysia bahawa Dato’ Seri Zahid kata dah minta supaya pengundi jangan undi PN. Jadi ini merupakan ‘screenshot’ yang direka-reka, yang dibuat-buat,” tempelaknya.

Beliau menyatakan, penyebaran maklumat seperti itu tidak akan menjadi senjata ampuh dalam keadaan teknologi hari ini kerana semua maklumat boleh disahkan dengan mudah melalui media baharu.

“Kita bukan berada pada tahun 1990 ketika Pilihan Raya Umum berlaku 35 tahun, 36 tahun lepas. Pilihan Raya Umum tahun 1990. ketika itu Semangat 46 dikatakan akan menewaskan Barisan Nasional.

“Tapi tiga empat hari sebelum Pilihan Raya Umum disiarkan di dalam akhbar bergambar Tengku Razaleigh memakai tengkolok yang ada lambang salib pada ketika itu.

“Dan sehingga pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah, PAS dan juga Semangat 46 tidak mempunyai masa yang cukup untuk menafikan perkara tersebut. sebab mereka (BN) ada TV, mereka ada akhbar.

“Sekarang ini ia bukan zaman tahun 1990. Kita berada pada zaman semua maklumat boleh disahihkan melalui TikTok dan melalui media baharu, melalui ‘smartphone’ dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau menambah, penyebaran ‘screenshot’ yang direka-reka tidak mampu menjamin kejayaan kerana orang ramai boleh melakukan semakan dalam tempoh singkat.

“Kalau sekadar nak sebar ‘screenshot’ yang direka-reka itu, ia tidak boleh menjamin apa-apa dan orang boleh buat ‘due diligence’ ataupun mensahihkan apa-apa maklumat dalam masa yang sekejap sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -