MPKB-BRI roboh bangunan dibina tanpa kebenaran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) tidak lagi akan berkompromi terhadap pembinaan bangunan tanpa kebenaran apabila tindakan merobohkan binaan yang melanggar syarat akan dilaksanakan.

Yang Dipertua MPKB BRI, Dato’ Zulkifle Ab Rahman berkata, pemantauan terhadap pembinaan tanpa kebenaran akan dipertingkatkan bagi memastikan semua pembangunan di bandar itu mematuhi undang-undang serta syarat yang ditetapkan.

- Advertisement -

“Kali ini kita tidak buat denda lagi. Mana mana binaan yang dibuat tanpa kebenaran, bangunan itu akan dirobohkan. Kenapa tidak minta kebenaran terlebih dahulu. Siapa kata proses di MPKB BRI lambat.

“Bukan MPKB-BRI yang lambat meluluskan permohonan, tetapi kontraktor yang mahu cepat,” katanya ketika merasmikan Program Gotong Royong Perdana MPKB BRI di Lembah Sireh, Padang Hadapan UiTM Kota Bharu, semalam.

Katanya, orang ramai yang ingin mengubah suai kediaman atau membina bangunan baharu perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.

“Kalau ada kelewatan, datang berjumpa dengan kami untuk berbincang kaedah mempercepatkan proses.

“Kita menyeru semua pemilik premis dan pihak yang ingin membina bangunan supaya mematuhi syarat yang ditetapkan khususnya di kawasan bandar Kota Bharu,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan turut memberi tumpuan terhadap premis yang gagal menyediakan tong sampah khas selain pembinaan bangunan tanpa kebenaran.

Pada masa sama, Zulkifle berkata, MPKB-BRI terus memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan tahap kebersihan bandar melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

“Kita mahu memastikan bandar Kota Bharu sentiasa bersih dan kawasan ini dipilih kerana menjadi pusat aktiviti ekonomi, pusat pengajian dan lokasi tumpuan orang ramai termasuk kawasan pasar malam,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil tinjauan dilakukan pada waktu malam mendapati masih terdapat segelintir masyarakat membuang sampah sesuka hati termasuk meletakkannya di luar tong yang disediakan.

“Malam saya keluar mengikuti lori sampah dan kita dapati masih ada masyarakat membuang sampah sesuka hati. Apabila orang luar datang, mereka mengambil gambar sampah yang bertaburan di luar tong sedangkan tong sampah masih kosong,” ujarnya.

Beliau menambah, keadaan itu memberi gambaran yang tidak baik kepada bandar Kota Bharu di sebalik usaha menjadikannya sebuah bandar yang bersih di mana memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan hanya bergantung kepada petugas kebersihan MPKB-BRI.

Program itu dilaksanakan dalam dua kategori iaitu gotong royong mengutip sampah dan operasi penguatkuasaan di seluruh kawasan MPKB-BRI.

Turut menyertai program itu seramai 315 peserta terdiri daripada pelajar UiTM Kota Bharu, Kolej Poly Tech MARA Kota Bharu, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Geng Plastik Hijau, Pejabat Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Communication for Behavioural Impact dan Agensi Antidadah Kebangsaan. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -