
MERSING: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan mengenai kepentingan perpaduan politik dengan mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan pemerintahan Islam di Andalusia, Sepanyol.
Beliau berkata, perpecahan sesama sendiri boleh menyebabkan kuasa politik hilang, sekali gus membawa perubahan kepada keadaan yang lebih buruk.
“Ha itulah kami orang PAS kata tak apalah, tak lantik PAS pun. Kalau Umno memerintah (sekurang-kurangnya) dapat (mengembala) lembu. Hat se (satu pihak) lagi memerintah, (menjadi pengembala) babi, nak hat mana? Nak babi ke lembu?
“Ini kita kena sabar, insya-Allah akan berlaku keinsafan. Bila kita ambil tahu politik, kuasa politik boleh jatuh, itu Sepanyol,” ujar Tuan Guru.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Ceramah Mega N.32 Endau di Dataran Mersing Kanan, di sini malam tadi.
Tuan Guru berkata demikian susulan, terdapat persoalan dalam kalangan penyokong PAS dan Umno yang masih berdepan perselisihan sehingga sukar untuk memberi sokongan antara satu sama lain.
Beliau mengimbas sejarah pemerintahan Islam di Andalusia yang menurutnya berlangsung selama 800 tahun, sebelum berlaku perpecahan dalam kalangan pemerintah.
“Sejarah Sepanyol, Sepanyol Islam memerintah selama 800 tahun lama pada Islam masuk Tanah Melayu lagi. Andalusia Sepanyol, Islam memerintah 800 tahun.
“Bila raja ini ramai anak raja, lantik raja-raja daerah, anak jadi raja. Daerah jadi puluh-puluh raja di Sepanyol, negeri dia besar. Raja sama raja berbalah, berpecah-pecah.
“Sehingga 400 tahun negeri yang hebat tamadun, tamadun ilmu, orang putih belajar dengan Sepanyol ilmu sains teknologi, hebatnya,” cerita Tuan Guru.
Bagaimanapun, Tuan Guru menjelaskan, keadaan berubah selepas berlaku perpecahan politik dalam tempoh 400 tahun apabila pemerintah saling berebut kuasa dan harta.
“Bila 400 tahun orang Islam berpecah, kuasa politik dalam bahaya, duduk berbalah berebut takhta, berbalah berebut harta, berbalah dia berebut ini, lawan sama sendiri,” katanya.
Tuan Guru menceritakan, keadaan itu menyebabkan pihak Kristian dari Utara mula menakluki wilayah berkenaan satu demi satu.
“Kristian datang daripada utara, takluk satu, satu, satu. Akhirnya mereka fikir ini bahaya. Lalu raja-raja ini bermesyuarat sama-sama. Mesyuarat sama dia. ‘Macam mana kita nak buat?’” katanya.
Tuan Guru memaklumkan, raja-raja berkenaan kemudian mengambil keputusan untuk menjemput seorang pemerintah dari Morocco, Ibnu Abbad, bagi membantu mereka menentang musuh.
“Kita fikir jemput seorang raja dari Morocco, Ibnu Abbas. Ibnu Abbad raja yang hebat. Ibnu Abbad ini. Jemput dia bantu kita, bantu untuk lawan kalahkan musuh-musuh ini,” ujar Tuan Guru memetik perbualan Raja-raja tersebut.
Namun, Tuan Guru menceritakan, terdapat kebimbangan dalam kalangan raja-raja tersebut bahawa kedatangan Ibnu Abbad akan menyebabkan mereka kehilangan kuasa.
“Ada raja kata, ‘kalau dia mari dia ambil kuasa, kita tak ada (kuasa), jatuhlah kita, tak jadi raja dah’. Lalu seorang raja berfikir. Raja itu kata, ‘kalau Ibnu Abbad mari, Ibnu Abbad ini orang Islam.
“Kalau dia pecat kita, kita tak jadi raja, jadi gembala kambing, gembala unta. Tapi kamu tahu tak kalau hak menatang (Kristian dari Utara) itu mari dia berkuasa, kita jadi gembala babi. Nak mana? Nak jadi gembala babi ke nak jadi gembala unta?’” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











