Wajarkah REE negara diterokai Jabatan Pertahanan AS?

- Advertisement -

TERKEJUT, kecewa, marah dan segala macam perasaan timbul ketika membaca laporan akhbar berkenaan perjanjian bekalan unsur nadir bumi bernilai USD96 juta antara Lynas Rare Earths Ltd dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Pertama, saya bukanlah seorang yang menolak sebarang usaha yang menguntungkan negara, namun usaha itu perlulah dipastikan tidak mengancam keselamatan negara sendiri mahupun negara lain.

Perjanjian unsur nadir bumi ini jelas dimeterai dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan agensi Persekutuan berkaitan ketenteraan dan keselamatan negara. Maka bukankah itu sesuatu yang menakutkan?

Dah nama pun Jabatan Pertahanan, lalu bagaimanalah kita nak bersangka baik sekiranya unsur nadir bumi kita nanti benar-benar akan diproses untuk kegunaan yang baik atau sebenarnya akan digunakan untuk mencipta senjata pemusnah?

Lebih membuatkan kenapa kita susah nak bersangka baik apabila perjanjian ini dilakukan tatkala negara berdaulat, Venezuela diceroboh dan Iran diserang tanpa berprikemanusiaan sehingga ke saat ini.

Saya yakin bahawa bukan saya seorang sahaja yang mempersoalkan perjanjian ini bahkan jutaan rakyat Malaysia yang lain pun mempersoalkan perkara yang sama. Kita tak nak satu hari nanti dunia mengatakan kita hipokrit.

Dari satu sisi, Malaysia dilihat kuat mengecam dan melawan kezaliman Amerika Syarikat dan sekutunya, Zionis tetapi dari sisi lainnya, kita secara tidak langsung dituduh membantu pembinaan senjata pemusnah mereka.

Apa yang lebih merisaukan saya ialah perkara sepenting ini tidak mendapat liputan secara meluas oleh media massa memandangkan fokus utama ketika ini ialah Pilihan Raya Negeri Johor.

Pihak media wajar menjadikan berita ini sebagai berita utama dan berani turun ke padang menemu bual rakyat bertanyakan pandangan mereka secara terus.

Saya amat yakin bahawa jawapan-jawapan yang diberikan sudah tentu meminta agar perjanjian ini diteliti semula.

Nasihat saya pada pihak kerajaan, sekirannya anda tidak mahu dilabel sebagai kerajaan yang hipokrit, maka semaklah semula perjanjian tersebut. Jangan terburu-buru dalam apa jua keputusan.

Harapan kita kini tertumpu pada perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan yang akan mengadakan sidang pendengaran pada 16 julai nanti. Saya berharap keputusannya benar-benar memuaskan hati kita semua.

MUHAMAD ASYRAF RATIM
Universiti Kebangsaan Malaysia – HARAKAHDAILY 10/7/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -