
MERSING: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meluahkan kebimbangan bahawa Johor boleh jatuh sekiranya berlaku kesilapan dalam percaturan politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.
Beliau memaklumkan, terdapat pihak yang menawarkan supaya Umno diberi peluang untuk memerintah Johor, manakala PAS hanya diberikan dua kerusi.
“Saya bimbang boleh jatuh Johor ni. Silap-silap buat. Ada orang mari buat tawaran, beri kat Umnolah memerintah Johor ni, bagi ke PAS dua kerusi saja, dua kerusi saja.
“Saya kata Umno jangan ingat, saya kata ke Umno, jangan ingat Umno boleh kuat sampai kiamat,” peringat Tuan Guru.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dalam Ceramah Mega N.32 Endau di Dataran Mersing Kanan, di sini malam tadi.
Tuan Guru berpandangan, keputusan pilihan raya sebelum ini menunjukkan kekuatan Umno boleh terjejas apabila berlaku perpecahan undi, termasuk apabila beberapa kawasan beralih kepada parti lain.
“Umno tak akan jadi parti yang kuat sampai kiamat. Dalam pilihan raya yang dibuat baru-baru lepas pun, ada kawasan Umno yang jatuh dekat DAP, DAP Melayu menang.
“Kawasan yang pecah undi boleh ke DAP, boleh ke PKR, boleh macam-macam, bahaya boleh berlaku,” bimbang mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.
Tuan Guru menegaskan, keadaan itu menyebabkan PAS perlu memainkan peranan dalam menentukan hala tuju politik Johor kerana jumlah kerusi yang diberikan kepada parti berkenaan perlu mencukupi.
“Dengan sebab itu kami kena campur tangan, dua kerusi (yang ditawarkan itu) tak cukup. Biarlah PAS jadi ‘spare tyre’. Kalau ‘spare tyre’ kecil saja, nak ‘spare tyre’ apa? Mestilah ‘spare tyre’ itu dengan jumlah yang mencukupi,” jelas Tuan Guru.
Mengulas sasaran PAS bertanding 11 kerusi, Tuan Guru menjelaskan, jumlah itu bukan untuk membentuk kerajaan negeri, sebaliknya membolehkan parti itu memainkan peranan sebagai pengimbang.
“Usaha-usaha kita dapat 11 kerusi dan memang 11 kerusi ni tak boleh memerintah negeri. Nak buat apa? 11 kerusi ni akan jadi ‘amar makruf nahi mungkar’.
“Sama ada kita menguatkan kerajaan ataupun kita menegur kerajaan kalau dia berkuasa, dengan 11 kerusi (daripada PAS sebagai pengimbang) ni,” tegasnya.
Tuan Guru turut menyeru supaya perpecahan politik tidak menyebabkan Johor kehilangan kuasa politik Melayu Islam.
“Jangan dengan sebab berpecah negeri kita jatuh. Dengan sebab itu kita kena ambil tahu politik pastikan Johor ni dikuasai oleh orang Melayu Islam.
“Sebab tu kita minta supaya tempat PAS bertanding undi PAS, tempat BN bertanding undi BN sama ada MCA, MIC dan sebagainya kalahkan PH. Sebab kerana kuasa politik (itu sangat penting), (apabila orang Melayu) hilang kuasa politik habis (negara diperintah oleh orang lain),” tegasnya.
Dalam masa sama, Tuan Guru menyatakan, PAS mengambil pendekatan bertolak ansur dengan parti Melayu Islam seperti Umno dan BERSATU, selain mengajak parti lain yang dianggap tidak ekstrem membentuk kerjasama politik.
“Maka kami fikir kita tolak ansurlah. PAS dengan Umno ni orang Melayu, BERSATU orang Melayu Islam. MCA MIC ni parti yang tidak ekstrem. Beberapa dari parti yang tak ekstrem, kita ajak buat satu gabungan kerjasama politik untuk jatuhkan Pakatan Harapan,” serunya.
Menurut beliau, PH merupakan gabungan membahayakan kerana terdapat parti di dalamnya yang membawa pendekatan liberal dan memisahkan agama dengan politik.
“Kerana Pakatan Harapan ni parti-parti yang membahaya. DAP parti yang liberal, sekularisme liberal, parti yang memisahkan agama dengan politik.
“Dalam dia tu Komunis pun ada. Yang tak ada agama pun ada. Yang bebas pun ada dalam DAP ni macam-macam jenis ada,” dedahnya.
Beliau turut menyifatkan, PKR dan PAN mempunyai pelbagai kelompok yang bergabung dalam parti masing-masing, sekali gus boleh membawa risiko kepada keadaan politik sekiranya PH memerintah.
“PKR pun begitu juga orang Melayu yang macam-macam jenis kepala dalam tu bergabung ni. PAN begitu juga yang nak ambil jalan mudah.
“Kalau dia memerintah, keadaan politik bahaya. Kita pecah. Kita nak supaya orang Melayu ini bersatu,” serunya lagi.
Tuan Guru turut mendedahkan, tindakan mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan adalah satu taktik politik, sambil menyentuh persaingan di Johor apabila BN dan PH masing-masing bertanding di semua 56 kerusi.
“Bila berlaku dia buat pilihan raya negeri-negeri ini taktik dia, dia buat Johor asing nak buat negeri lain pula. Bila kita tengok Umno letak 56 kerusi Barisan Nasional 56 kerusi, nak bertanding semua.
“PH letak 56 kerusi juga lawan. Saya tengok senarai 56 kerusi yang PH ni macam-macam jenis. Ada Melayu DAP. Melayu pakai kopiah. Melayu pakai songkok. Melayu macam-macam.
“Ada pendidikan tinggi, profesor, pensyarah universiti, dia ada ilmu tapi tak ada kefahaman politik. Semua ada,” dedah Tuan Guru. – HARAKAHDAILY 10/7/2026











