Budaya hedonisme menjadi tradisi?

Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar

- Advertisement -

PERTAMA sekali, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) sesi 2026/2027 ingin mengucapkan sekalung tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar yang telah diterima masuk ke Asasi dan Diploma bagi Sesi 2026/2027.

Tahniah juga kami rakamkan kepada barisan Pemudahcara Pelajar (PP) atas peranan anda membantu pelajar baharu sepanjang Minggu Suai Kenal Pelajar (MSKP) sesi ini.

Pihak PMIUM mengambil maklum berkenaan penganjuran Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar (MSKP) yang menjadi kemuncak kepada proses pengenalan mahasiswa baharu terhadap kehidupan kampus.

- Advertisement -

Namun begitu, terdapat beberapa elemen yang perlu dilihat kembali agar kesejahteraan dan keharmonian kampus kekal terpelihara.

Kami ingin menzahirkan kebimbangan terhadap penganjuran majlis tersebut yang seolah-olah lebih menjurus kepada suasana hiburan yang menyerupai konsert di samping wujudnya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Lebih mengecewakan, apabila pengisian program sebegini rupa timbul saban tahun bahkan seakan-akan menjadi template yang berulang setiap kali berlangsungnya program orientasi mahasiswa baharu.

Budaya yang bercanggah dengan syariat Islam tidak sewajarnya menjadi tradisi dan perlu dinilai semula demi kemaslahatan mahasiswa.

Kami juga ingin menjelaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan. Namun, sebarang bentuk hiburan dan pergaulan mestilah berlandaskan garis panduan agar adab dan nilai kesopanan mahasiswa tidak terhakis.

Program di universiti seharusnya menjadi medium membina intelektual serta akhlak, nilai dan identiti mahasiswa bukannya membuka ruang kepada budaya hedonisme atau suasana yang membawa kepada kelalaian.

Sehubungan dengan itu, PMIUM ingin menyeru agar:

a. Semua pihak menilai semula konsep penganjuran majlis atau program agar selari dengan identiti universiti sebagai institusi ilmu serta menghormati nilai dan budaya masyarakat Malaysia.

b. Pihak atasan UM mewujudkan satu garis panduan hiburan yang jelas agar pengisian program yang menyimpang daripada syariat Islam tidak dinormalisasikan dan menjadi tradisi setiap tahun.

c. Semua mahasiswa Islam tidak terjebak dalam program yang jelas melalaikan agar maruah sebagai Muslim dipelihara.

Kenyataan ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya satu seruan agar semua pihak bersatu dalam mewujudkan suasana kampus yang sejahtera.

Kejayaan universiti bukan hanya diukur melalui kedudukan terbaik dunia, tetapi juga melalui pembangunan sahsiah dan nilai mahasiswa.

Semoga setiap program yang dianjurkan selepas ini benar-benar menjadi wadah dalam melahirkan mahasiswa yang berintelektual, berprinsip dan berakhlak mulia.

Sekian, terima kasih.

“Membentuk Fikrah, Membangun Ummah”

MUHAMMAD ‘ADNI MOHMAD NASRUDDIN
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya,
Sesi 2026/2027 – HARAKAHDAILY 10/7/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -