
BERBAKI 24 jam tempoh kempen PRN Johor, saat paling kritikal yang akan menentukan sama ada penyandang kuasa akan terus berkuasa, berapa pertambahan kerusi PAS-PN atau PH yang akan menjulang trofi kemenangan.
Anak-anak muda Tionghua dikerah balik mengundi termasuk kempen bersama oleh NGO Islam yang sangat dhaif (yang tidak malu suka dikaitkan dengan fikrah Ikhwan). Pakatan Harapan (PH) mengunjurkan jika melepasi 80 peratus keluar mengundi maka mereka akan berjaya membentuk Kerajaan Negeri Johor.
Gendang PRN Johor ditabuh geger seperti kumpulan heavy metal yang tumbuh di Johor dalam dekad 1980-an. Kempen dalam persaingan sengit tiga pemuafakatan politik terbesar tanah air, kemeriahan pesta demokrasi mengocak lahan nurani seperti ditaufan badai musim tengkujuh.
Dalam tempoh dua minggu tempoh berkempen ini, alam medsos seperti tidak berhenti mengejek kerajaan paling gagal pernah ditubuhkan semenjak Malaysia merdeka.
Suara menekan-nekan Anwar di podium ceramah mengundang ejekan warganet terutama anak-anak muda, dibilas falasi Anwar dengan Rafizi yang menggunakan PRN Johor sebagai pentas memunculkan parti baru anak-anak muda. Sorak sorai di himpunan tiga buah blok politik kaki ini sangat menguja akal.
Kebimbangan awam bukan sekadar melihat harga minyak yang tidak menentu namun nasib tanah air akibat refleksi perang Teluk (krisis Asia Barat) yang bakal menatijahkan inflasi yang bakal melonjak dan menghempap sebahagian besar rakyat terbanyak.
Pertumbuhan kitaran KDNK tidak stabil, FDI negara juga tidak secerah mentari pagi. Seperti majal sial yang datang bertindan tindih, menghempap batu gemala kepimpinan negara, tiga tahun sembilan bulan negara ini tidak berhenti daripada rungutan serta bebelan rakyat sejak 22 November 2022.
Kegagalan Kerajaan Madani menunaikan manifesto PRU-15, tekanan kepada kebebasan menyuarakan pandangan, malah rakyat disergah dengan angkuh apabila meminta kerajaan melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto. Diikuti dengan polisi ‘flip flop’ kerajaan PH-BN serta teknik pusingan-U yang kerap sehingga menimbulkan kemualan berganda kepada rakyat.
Rakyat Johor bukanlah benak ubi untuk mengukur kebijakan dasar-dasar pemerintahan Kerajaan PH yang semenjak sebelum kempen lagi menggunakan pelbagai jentera kerajaan serta rasuah pilihan raya berskala besar.
Semenjak awal, rakyat memerhatikan tingkah laku barisan menteri yang tidak kompeten, anggota legislatif daripada pihak kerajaan dengan keobsesan mereka terhadap pangkat dan darjat, membina kroni kapitalisme serta polisi yang gagal untuk memakmurkan negara.
Bak ‘kabinet lipas’ yang menempatkan pelbagai menteri yang tidak piawai, ada yang tanpa kualifikasi kertas, bahkan ada yang jenis pemabuk. Dengan muka tebal seolah bertampal dengan ‘kulit babi’, tanpa rasa malu mereka tampil dengan janji-janji reformasi sebelum berada di koridor kuasa.
Mereka cenderung menggunakan apparatus kerajaan untuk menyelamatkan diri, pembohong tahap ketagihan atau Mythomania, serta pelbagai tampang buruk yang lain. ‘Patalogikal pembohongan’ yang ditampal pada imej pemimpin utama negara langsung tidak membantu kerukunan negara ini.
Tidak peliklah jika PMX disorak di hadapan warga FELDA kerana ucapan ‘paras rendah’ memperlekehkan pimpinan terdahulu.
Parti-parti yang memerintah juga saling berantakan, juga kegagalan melaksanakan reformasi menatijahkan lahirnya parti BERSAMA sebagai saingan sengit kepada PKR dan Anwar sendiri.
Rakyat Johor secara umumnya mencebik kepada politikus asal jalanan ini yang membusung dada dengan pangkat serta gelaran feudal walaupun tanpa terbukti apa jasa bakti mereka pada tanah watan bahkan peradaban manusia.
Majoriti yang hadir dalam himpunan PH dimonopoli oleh satu kaum yang mendapat laba besar apabila PH berkuasa. Rupa-rupanya, kelompok politikus jalanan ini apabila mendapat kuasa lebih jahat daripada kerajaan yang mereka cemuh selama ini.
Tanpa sedar, rakyat memerhatikan mereka yang dengan pantas cuba menukar cara hidup sekelip mata sehingga mencuat rasa menyampah rakyat.
Kenyataan media pemimpin yang sering bercanggah di antara satu sama lain, bahkan persaingan dalaman, intriq serta polemik berpanjangan, kecuaian intergriti bahkan ada yang masih belum menguasai portfolio masing-masing walaupun sudah berada di hujung penggal!
Kes beras hilang, addendum hilang, segalanya memeritkan rakyat dengan kuasa beli yang semakin mengecil. PMX rajin ke luar negara dengan pelbagai alasan kononnya untuk menarik pelaburan namun rakyat tidak melihat ROI.
PMX menutur kata-kata muluk kononnya perkembangan ekonomi yang baik, ironinya pelbagai subsidi untuk rakyat makin ditarik balik!
Penulis berkesempatan berkempen di lapan DUN kali ini, mendengar keluhan pengundi serta petugas pilihan raya. Sejujurnya, di Johor kesenjangan kaum semakin melebar kerana ada kaum yang merasa besar kepala apabila PH-BN memerintah di peringkat persekutuan membuahkan sikap etnosentrisme.
Mereka berani menggunakan kuasa untuk memperlekeh sijil halal, menukar status tanah-tanah kawasan masyarakat bukan Bumiputera bahkan menghidangkan makanan tidak halal kepada Muslim. Isu penternakan babi di Selangor, sikap biadap pemimpin DAP kepada Sultan Selangor, pengiktirafan UEC, ratusan isu yang lain sangat menganggu tanah air ini.
Kerajaan yang rapuh ini mengganggu suara bangkangan alam siber dan mematikan akaun yang aktif berseberangan idea dengan kerajaan. Ugutan halus, intimidasi ke atas anak-anak muda pro-pembangkang, bahkan menggunakan aparat keamanan untuk terus menekan suara pembangkang dan suara anak-anak muda yang ‘rebel’.
Warga Johor bukanlah terlalu naif untuk menilai kebobrokan dan kebejatan kerajaan PH-BN di peringkat Persekutuan. Regim Madani gagal untuk mengawal limpahan warga asing ke negara ini, PATI mencuri peluang pekerjaan rakyat tempatan terutamanya anak-anak muda.
Malah membimbangkan dengan pemberian taraf kewarganegaraan yang tidak terkawal terutamanya dari Tanah Besar China. DAP, sekutu besar serta paling dominan dalam kerajaan ini sangat berminat menjaga portfolio pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana kerajaan negeri yang pakatan ini kuasai.
Orang Melayu wajib curiga dengan usaha menstrukturkan semula perbandaran dengan matlamat mengubah demografi politik yang amatlah merbahaya kepada kaum Bumiputera seolah-olah mengulangi nasib orang Melayu di Pulau Temasik!
Kerajaan Madani yang ditunjangi PH juga sangat lemah menjaga kontrak sosial negara, contohnya dalam isu penggunaan tulisan Mandarin dalam kad KKM di Setapak jelas signal usaha mendobrak kontrak sosial oleh parti pemerintah sendiri. PH juga gagal dalam memartabatkan bahasa Melayu, lihat sahaja sebaran kempen mereka dalam PRN Johor.
Sedarlah wahai pengundi Johor akan ketidaksamaan layanan antara kaum oleh PH. Mereka kelihatan begitu menjaga kaum minoriti yang mendokong kuat mereka, contohnya bantuan RM20 juta kepada sekolah persendirian Cina di negara ini, juga dalam kempen kali ini, curahan projek bernilai ratusan juta untuk kepentingan kaum yang menyokong mereka. Termasuk janji untuk membela kampung-kampung baru Cina yang diwujudkan di zaman darurat oleh Harold Brigg.
Warga Johor sekalian, sedarlah, jangan membutakan mata melihat kerosakan akhlak yang makin serius. Kampus universiti di zaman Madani menjadi tempat pembiakan budaya seronok melampau, hiburan hedonisme dibajai kerana parti penguasa liberal pragmatis tanpa perhitungan dosa pahala.
Dekadensi moral juga makin menyurut ke belakang, 40 buah konsert besar terus digalangi pada tahun 2025 tanpa menghiraukan impak negatif kepada generasi muda. Lihat saja Konsert Rain Rave beberapa bulan lepas telah mengorbankan erti kebudayaan kebangsaan, namun dibilas samak dengan acara Quran Madani sebaik selepas itu.
Pragmatisme yang mencalar karomah insaniah, kerosakan akhlak bukan dalam vara fikir kerajaan Madani. Konsep Madani dilacurkan sesedap kosa kata! Anak-anak dibajai dengan budaya hedonisme ketimbang budaya intelektual di zaman edan Madani ini.
Wahai rakyat Johor yang budiman yang pernah membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dalam PRU-14, terutamanya ahli-ahli NGO berbasis Islam – kalian masih ada secubit peluang untuk membaiki tanah air dan negeri tercinta ini.
Pilihan raya negeri kali ini, PAS PN terus tampil dengan calon-calon terbaik, berakhlak, mempunyai latar belakang aktivis yang merakyat dalam selukan komuniti Johor. Pilihan di tangan anda, silap memangkah maka implikasinya bukan sekadar lima tahun tetapi terheret kesannya sehingga akhirat.
Berikanlah peluang kepada calon-calon PAS PN menjadi suara semak dan imbang yang berkesan, teruslah nekad dalam menolak Pakatan Harapan. Kita jaga Johor!
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 10/7/2026











