‘Tolak semua parti PH tak reti bahasa, bangsa’

Demi kekuasaan politik orang Melayu-Islam, PAS lupakan semua perbalahan lama dengan Umno

- Advertisement -

MUAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, kepentingan menyelamatkan kuasa politik orang Melayu-Islam menjadi sebab parti itu sanggup memberi sokongan kepada pihak yang dilihat tidak ekstrem.

Menurut Tuan Guru, PAS menyedari kedudukannya belum kuat di Johor, namun perkara lebih penting adalah memastikan kuasa politik orang Melayu di negeri itu kekal teguh.

- Advertisement -

“Yang penting ialah supaya kuasa politik orang Melayu di Johor ini masih kuat teguh. Sebab itu orang PAS sanggup sokong, ini dia sebabnya. Sanggup sokong MCA, MIC yang bersama dengan mereka tidak ekstrem,” ujar Tuan Guru.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dalam Grand Finale PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Umum Negeri Johor ke-16 di Laman Muafakat, di sini malam tadi.

Menurut beliau, PAS menolak semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk parti Melayu yang berada dalam gabungan itu kerana tidak mempunyai semangat kebangsaan.

“Maka kita tolak semua parti dalam Pakatan Harapan termasuk parti Melayu yang ada dalam Pakatan Harapan ini. Parti yang tak reti bahasa, tak reti bangsa.

“Tak ada semangat kebangsaan langsung. Tak ada. (Parti yang) Nak hapuskan bangsa? Bangsa tak boleh dihapus,” tegas Tuan Guru.

Mengulas mengenai gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang dikaitkan dengan DAP, Tuan Guru menegaskan, kewujudan bangsa, bahasa dan budaya adalah kejadian Allah yang tidak boleh dihapuskan.

“DAP nak buat ‘Malaysian Malaysia’, bangsa Malaysia, tak ada Melayu, tak ada apa. Ini kejadian Allah.

“Tuhan kata, ‘Aku jadikan manusia itu berbangsa dan bersuku kaum. Aku jadikan bangsa itu berbeza bahasa dan budaya mereka’. Ini tabii, tabii,” tegas beliau lagi.

Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu menjelaskan, usaha menghapuskan bangsa dianggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan tabii.

“Kerana nak hapus bangsa ni? Luar tabii. Kita ikut luar tabii? Sekarang ni banyak orang ikut luar tabii. Lelaki kahwin dengan lelaki, perempuan kahwin dengan perempuan. 

“Ini apa bertukar balik? tak boleh politik luar tabii,” tegas mantan Menteri Besar Terengganu itu.

PAS lupakan perbalahan lama

Dalam pada itu, Tuan Guru memaklumkan, PAS bersedia bekerjasama dengan Umno walaupun pernah berlaku perselisihan antara kedua-dua parti demi kepentingan politik orang Melayu-Islam.

“Dengan sebab itu kita tak apalah kerjasama dengan Umno. Kalau ikut kita berbalah dengan Umno ini teruklah PAS balah dengan Umno.

“Macam-macam berlaku pada orang PAS kena tangkap, orang PAS kena hukum, kena sekat, tapi demi kekuasaan politik orang Melayu-Islam kita lupakan semua itu,” serunya.

Beliau turut mengingatkan supaya orang Melayu tidak terus berbalah sesama sendiri sehingga memberi keuntungan kepada pihak lain.

“Jangan macam orang kampung kata lesung dengan alu. Lesung dengan alu berlaga. Yang kenyang siapa? Ayam. Jangan macam begitu dah. Habis beras dalam (lesung) itu.

“Tumbuk (guna alu) kuat sangat. Habis ayam kenyang, kita lapar.  Jangan sampai bertumbuk sama-sama Melayu ni termasuklah dengan orang yang tidak ekstrem,” tegurnya.

Cina dan India pun tak setuju ekstrem

Beliau turut memaklumkan, terdapat masyarakat Cina dan India yang tidak bersetuju dengan pendekatan ekstrem serta menyatakan kemungkinan sokongan kepada calon Melayu Islam.

“Saya sedar banyak orang Cina, orang India tak setuju pendekatan ekstrem (yang dibawa DAP) ini. Dengan sebab itu orang Cina tolak DAP di Sabah. Kalau orang Cina boleh tolak DAP di Sabah, takkan Cina di Johor tak boleh tolak DAP?

“Orang Cina boleh pilih calon India. Orang India berapa orang? India DAP, orang Cina boleh pilih. Takkan tak pilih calon Melayu-Islam dalam kawasan Cina? Takkan tak boleh?” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -