Desak siasatan telus tugu misteri unsur Freemason

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS Kawasan Seremban mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan telus berhubung kewujudan sebuah tugu misteri yang mempunyai unsur Freemason di kawasan Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, di sini.

- Advertisement -

​Yang Dipertuanya, Ustaz Rosmin Adam berkata, kehadiran struktur tersebut telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat Islam setempat.

​Ujarnya, kawasan berkenaan merupakan kawasan majoriti umat Islam dan simbol seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan awam.

​”PAS Kawasan Seremban memandang serius laporan media ini. Sehubungan itu, kami mendesak pihak berkuasa termasuk Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak,” katanya.

​Beliau menggesa siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membina tugu tersebut.

​Selain itu, pihak berkuasa dituntut memberikan penjelasan rasmi kepada masyarakat berhubung status dan tujuan sebenar struktur berkenaan.

​”Kami juga mendesak agar tindakan sewajarnya diambil sekiranya tugu itu dibina tanpa kebenaran atau mempunyai unsur yang menyinggung sensitiviti agama dan budaya tempatan.

​”PAS Kawasan Seremban menegaskan bahawa apa jua simbol atau binaan yang boleh menggugat keharmonian dan akidah umat Islam mesti ditangani dengan tegas serta berhikmah,” ujarnya.

​Kelmarin, media melaporkan penduduk di kawasan perumahan di Bandar Tasik Senangin meluahkan rasa tidak selesa dengan kewujudan tugu yang dikaitkan dengan pertubuhan Freemason itu.

​Mengulas lanjut, Ustaz Rosmin berkata, ketelusan dan penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa amat penting bagi mengelakkan salah faham serta spekulasi liar dalam kalangan masyarakat.

​”Kami menyeru semua pihak agar bertenang dan menghormati proses undang-undang, sambil memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara profesional,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 25/10/2025

- Advertisement -