Jangan ambil mudah gejala influenza, dapat rawatan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil mudah gejala demam dan batuk yang mungkin berkait dengan jangkitan influenza di mana kini menular di seluruh negara, nadihat Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negara itu berkata, mereka yang mengalami simptom seperti demam tinggi, sakit tekak, batuk dan keletihan melampau perlu segera mendapatkan rawatan bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.

“Saya ingin menarik perhatian masyarakat terhadap peningkatan kes wabak influenza yang sedang melanda negara ketika ini. Influenza bukan sekadar demam biasa. Ia adalah jangkitan virus pernafasan yang mudah merebak melalui titisan udara, bersin atau batuk.

“Sebagai seorang doktor perubatan, saya berpandangan bahawa situasi ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia boleh memberi kesan serius terutamanya kepada golongan berisiko tinggi.

“Terutama seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, asma dan penyakit jantung,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, laporan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan kadar jangkitan influenza yang ketara sejak beberapa minggu lalu, termasuk lebih 530 kluster direkodkan di seluruh negara setakat ini.

Daripada jumlah itu katanya, sekolah mencatatkan peratusan tertinggi dengan lebih 65 peratus kluster dilaporkan di institusi pendidikan.

“Di sekolah pula, kluster telah meningkat mendadak daripada hanya lapan kluster pada ME ke-39, kepada 202 kluster pada ME ke-41, sebelum kemudian menurun kepada 56 kluster pada minggu semasa.

“KKM menegaskan bahawa walaupun tahap semasa masih sedikit di bawah kemuncak jangkitan tahun 2024 iaitu sembilan peratus penularan masih berlaku dan memerlukan pemantauan rapi,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan cuaca tidak menentu serta peningkatan aktiviti sosial dan persekolahan turut meningkatkan risiko penularan virus berkenaan dalam kalangan masyarakat

“Oleh itu, tanggungjawab pencegahan tidak hanya terletak pada pihak kesihatan, tetapi juga melibatkan sekolah, tempat kerja, institusi awam dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Wan Martina turut menggesa masyarakat agar terus mengamalkan langkah pencegahan seperti menutup mulut ketika bersin, kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka di tempat awam serta mengelakkan tempat sesak jika tidak sihat.

“Saya menyeru agar institusi pendidikan dan tempat kerja memastikan kebersihan premis sentiasa terjaga dan memantau kesihatan pelajar serta pekerja.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu memperhebatkan kempen kesedaran awam serta memantau penularan dengan teliti agar tidak menjadi wabak besar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa vaksin influenza adalah langkah perlindungan yang berkesan dan selamat.

“Saya menggalakkan individu terutamanya dari kumpulan berisiko untuk mendapatkan vaksinasi tahunan bagi melindungi diri dan keluarga.

“Kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama. Dengan disiplin, kepekaan dan kerjasama semua pihak kita mampu membendung penularan wabak ini serta melindungi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/10/2025

- Advertisement -